SYED Fairus  (kiri) bersama Mohd Syarul (tengah) mengadakan sidang media pasukan bina badan sempena kontinjen Malaysia menyertai Sukan Sea 2021 Vietnam di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAADS
SYED Fairus (kiri) bersama Mohd Syarul (tengah) mengadakan sidang media pasukan bina badan sempena kontinjen Malaysia menyertai Sukan Sea 2021 Vietnam di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAADS
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Selepas menyepi daripada tiga edisi Sukan Sea, acara bina badan bakal merancakkan lagi temasya di Hanoi, Vietnam, bulan depan, selepas keputusan dibuat Ahli Majlis Persekutuan Sukan Sea (SEAGF).

Biarpun gembira dengan keputusan itu, barisan jurulatih dan atlet negara perlu terus mempersiapkan diri sebelum berhadapan dengan lawan dari negara jiran lain.

Pengurus pasukan, Syed Fairus Syed Ali berkata, kem bina badan kebangsaan menghantar 10 atlet terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita.

"Kami memilih atlet berpotensi untuk diketengahkan dan diberi kepercayaan bagi meraih pingat di Sukan Sea. Terdapat lima atlet muda yang mampu menjadi pelapis bagi atlet sedia ada.

"Kontinjen bina badan negara meletakkan sasaran satu pingat emas, dua pingat perak dan tiga pingat gangsa.

"Kami tidak tahu mungkin boleh dapat lebih daripada itu. Sebab itu, kami tidak berani nak letak lebih tinggi dan hakikatnya, sasaran pingat emas adalah daripada Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah atau Mike," katanya.

Sementara itu, Mike berkata, dia mahu membawa pulang sekurang-kurang satu pingat emas bagi acara disertai.

Menurutnya, ia berdasarkan pengalaman serta pencapaian Mike selaku juara dunia kategori Athletics Physique empat kali berturut-turut sejak 2016.

Pada temasya di Hanoi, Mike akan bertanding dalam acara Athletics Physique serta Mixed Pair dan tidak bertanding di Sukan Sea Myanmar 2013 kerana kategorinya tidak dipertandingkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2022 @ 6:30 AM