Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: "Untuk mengatakan bahawa kedua ibu bapa menculik atau memaksa saya adalah suatu telahan yang tidak tepat."

Itu penafian dinyatakan Nynaa atau nama sebenar Nurul Hanynaa Harizal, 25, berhubung dakwaan suaminya, Fahmi Ilyas, 29, yang memaklumkan pelakon itu dilarikan keluarga sebelum tuntutan cerai dibuat.

Katanya, dia memilih untuk tidak mahu memberikan apa-apa reaksi terhadap semua berita itu demi menjaga hati dan perasaan semua pihak berkaitan.

"Sejak 2 November lalu, saya pada setiap masa berada dalam jagaan kedua ibu bapa dan ahli keluarga saya di Johor Bahru.

"Saya melalui peguam syarie memfailkan Permohonan Penceraian Dengan Talaq atau Dengan Perintah mengikut Seksyen 47 Enakmen Keluarga Islam (Negeri Johor) Tahun 2003, pada 10 November lalu.

NYNAA Harizal ketika ditemuramah selepas memfailkan permohonan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
NYNAA Harizal ketika ditemuramah selepas memfailkan permohonan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan

"Salinan diserahkan kepada suami pada keesokan harinya, jam 3.16 petang pada 11 November lalu," kata Finalis Dewi Remaja 2019 itu menerusi kenyataan selepas menghadiri sebutan permohonan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru, hari ini.

Nynaa ketika ditemui bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung punca permohonan cerai antara dia dan suaminya kerana melihat ia sebagai isu peribadi dan tidak mahu mengganggu prosiding mahkamah.

"Hari ini, ditetapkan untuk sebutan bagi permohonan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru. Suami tidak hadir dan hanya diwakili oleh peguamnya saja.

"Sementara proses Mahkamah Syariah ini berjalan dan selagi mana ia tidak menjejaskan prosiding, saya membuka ruang untuk perbincangan dengan suami dan ini dinyatakan kepada suami melalui perbualan telefon pada 12 November lalu," katanya.

Fahmi dan Nynaa mendirikan rumah tangga pada 28 Ogos lalu dan belum dikurniakan cahaya mata.

Terdahulu pada 3 November lalu, Fahmi mendakwa isterinya 'dilarikan' oleh bapanya ketika terbabit dengan penggambaran sebuah drama dan tidak pasti di mana isterinya berada.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 1:09 PM