GAMBAR Hiasan. FOTO ARKIB NSTP
GAMBAR Hiasan. FOTO ARKIB NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Tidak patuh pada prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja dan asrama penginapan menyebabkan berlaku Kluster Dah Teluk Nibung di Langkawi, walaupun semua pekerja itu sudah menerima suntikan dos lengkap vaksin Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pada 1 Oktober lalu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah melaporkan Kluster Dah Teluk Nibung di daerah Langkawi.

Beliau berkata, kluster itu dikategori sebagai kluster tempat kerja yang membabitkan penduduk tempatan Langkawi iaitu pekerja dan kontak rapat ahli keluarga.

"Sehingga hari ini, seramai 254 orang disaring dengan 59 kes positif Covid-19, 187 individu negatif dan tiga individu lagi masih menunggu keputusan.

"Siasatan awal mendapati penularan jangkitan disyaki daripada komuniti dan seterusnya merebak di tempat kerja akibat ketidakpatuhan SOP di tempat kerja dan asrama penginapan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, semua kontak rapat sudah dikenalpasti dan dilakukan ujian calitan serta diberi arahan Perintah Pemerhatian dan Pengawasan (HSO) selama 10 hari dan sehingga kini, penularan jangkitan adalah terkawal.

Beliau berkata, semua kes jangkitan Kluster Dah Teluk Nibung itu adalah kategori 1 dan 2 sahaja selepas semua pekerja menerima suntikan dos lengkap vaksin Covid-19.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama-sama dengan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Langkawi akan terus memantau perkembangan jangkitan dan memastikan langkah pencegahan serta kawalan sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

"KKM akan terus menjalankan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam menjalankan penilaian risiko bagi membolehkan lebih banyak lagi tempat pelancongan dibuka dari semasa ke semasa.

"KKM ingin menyeru semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama memainkan peranan dalam usaha membawa negara keluar daripada pandemik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 8:06 PM