JOY Crookes menarik perhatian dengan penampilan unik dan suara besarnya.
JOY Crookes menarik perhatian dengan penampilan unik dan suara besarnya.
Georgie Joseph


SEORANG lagi bintang muzik dari Britain, Joy Crookes semakin bersinar dengan kualiti muzikal luar biasa dimiliki. Paling ketara, keunikan baik dalam karya serta personalitinya ternyata faktor utama menambat hati peminat.

Crookes atau nama sebenarnya Joy Elizabeth Akther Crookes, 22, berjaya berdiri di atas auranya sendiri. Meskipun, daripada segi muzik, dia mengingatkan kita kepada karya mendiang Amy Winehouse, namun ia langsung tidak membayanginya.

Berdarah Benggali-Ireland, penyanyi muda ini tampak bersandar kukuh kepada kualiti karyanya. Lagu seperti Feet Don't Fail Me Now misalnya, begitu membuai halwa telinga pendengar hingga ke satu tahap berbeza.

Bukan memuji kosong, namun pencapaian demi pencapaian juga diraih Crookes sejak memulakan karier muzik beberapa tahun lalu. Ia termasuk dicalonkan dalam kategori Brits' Rising Star di acara berprestij Anugerah Brits, tahun lalu.

Kini sibuk menyiapkan album baharunya, dia mengakui emosinya cukup terjentik dalam proses itu. Ini kerana, dia memutuskan untuk menyalurkan kisah peribadinya dalam lirik lagu-lagu yang sedang dihasilkan.

"Semestinya ada peningkatan yang amat besar dalam aspek bunyi (susunan lagu). Proses menghasilkan album itu memang benar-benar sebuah pengalaman yang cukup beremosi untuk saya.

"Setiap kali menulis sebuah lagu, ia bermula daripada idea kecil. Sekalipun mesej yang cuba disampaikan mungkin sangat megah pengertiannya atau corak vokalnya hebat, ia masih dikira kerdil.

"Melihat perkembangan setiap elemen kecil yang dihasilkan daripada petikan gitar, kemudian bertukar menjadi sebuah lagu, memang sangat menyentuh. Ditambah pula, sentuhan pemuzik lain yang menyumbang, meningkatkan lagi kuasanya," katanya.

Bergelar penyanyi semestinya keputusan yang begitu bermakna pernah dibuat Crookes dalam hidupnya. Baginya, dia melihat sumbangan muzik bukan sekadar untuk menghiburkan tapi mengubah persepsi sosial.

Meskipun dia sendiri membesar dalam komuniti moden, tidak sekali dirinya menyisihkan asal-usulnya sebagai wanita Benggali. Baginya, dia turut berbangga apabila dapat menyalurkan kreativiti yang diinspirasikan daripada budaya asalnya.

"Membesar daripada latar belakang (bangsa) yang kebanyakannya terdiri daripada orang miskin serta dikira etnik minoriti, muzik sentiasa menjadi platform penting. Ia berjaya menaikkan semangat kami tanpa memerlukan kos pun.

"Kita semua datang dari pelbagai tempat di pelosok dunia dan ia (muzik) adalah bahasa yang kita semua boleh tuturkan. Komuniti saya sendiri pun memiliki nilai muzik yang begitu indah sekali.

"Ia tidak bergantung kepada bagaimana elitnya atau eksklusifnya sesebuah komuniti itu. Ia jelas memberi impak yang sangat besar dalam proses kreativiti saya selain sangat seronok bekerja dengan orang saya," katanya.

Menurut Crookes, pembabitannya dalam bidang muzik juga tidak dirancang dan ia berlaku secara tidak sengaja. Dia sendiri bukannya datang daripada keluarga yang berdarah seni selain timbul keraguan daripada segi identiti dirinya.

DALAM proses siapkan album penuh pertamanya berjudul Skin.
DALAM proses siapkan album penuh pertamanya berjudul Skin.

Nekad cuba nasib

Justeru, apabila memutuskan untuk menceburi bidang ini, Crookes meletakkan muzik di tahap yang begitu tinggi dan bukannya sekadar pekerjaan semata-mata. Setiap langkah yang diusahakannya dianggap peluang keemasan.

"Muzik bukan hal yang dekat dalam keluarga saya. Nenek saya sajalah pernah terbabit menyertai koir di gereja, namun jelas sekali ia langsung tidak membuktikan bahawa kami ada darah seni.

"Saya sendiri sangat ragu-ragu mengenai muzik sebelum ini. Saya tertanya, bagaimana mahu jana pendapatan dan mahu

memastikan keputusan itu bakal membuahkan hasil? Tapi, itu kerana mungkin saya berfikir daripada pemikiran seorang pendatang.

"Saya kemudian usahakannya secara sambilan sahaja sebelum hadir keyakinan bahawa saya berpotensi untuk lakukannya lebih jauh. Pada usia 16 tahun, saya kemudian nekad mencuba nasib untuk jadi penyanyi," katanya.

Berikutan kejayaan yang semakin jelas diraihnya sekarang, percaturan Crookes ternyata sangat berbaloi. Bukan saja muncul antara penyanyi muda yang begitu besar potensinya, dia kini melakukannya sepenuh masa.

"Dalam fikiran saya ketika itu, saya katakan dalam diri bahawa saya kena cuba juga kerana jika tidak, saya mungkin akan sangat menyesal. Perancangan alternatif saya ketika itu adalah untuk menyambung pengajian mengenai sejarah di universiti," katanya.

Crookes memulakan kerjaya muziknya sejak 2016 di mana dia juga cukup berbakat bermain instrumen termasuk gitar dan piano. Ketika itu, dia cukup aktif memuat naik nyanyian 'cover version' di YouTube dan perlahan-lahan meraih pengikut.

Setakat ini, dia sudah menghasilkan tiga EP termasuk Influ

ence, Reminiscence, Perception dan bakal dilancarkan album penuh yang berjudul Skin. Dia juga pernah menang tempat keempat dalam acara Sound of 2020 pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 6:00 AM