ORANG ramai menjalani ujian saringan Covid-19 secara percuma yang dianjurkan kerajaan negeri Selangor di Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
ORANG ramai menjalani ujian saringan Covid-19 secara percuma yang dianjurkan kerajaan negeri Selangor di Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
Rafidah Mat Ruzki dan Irwan Shafrizan Ismail


Kuala Lumpur: Gelombang ketiga virus Covid-19 dikesan lebih banyak menjangkiti golongan muda berusia 20 hingga 40 tahun, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Tanpa memberikan perincian peratusan, beliau berkata, ia menunjukkan peningkatan jangkitan melalui kes sporadik.

"Data terkini Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis (CPRC) mendapati gelombang ketiga Covid-19 lebih banyak menjangkiti golongan muda.

"Ini menunjukkan bahawa kita mengesan lebih banyak kes sporadik atau tiada kaitan dengan kluster," katanya pada sidang media secara maya, hari ini.

Selain itu beliau berkata, jumlah pesakit Covid-19 dengan gejala serius iaitu tahap empat dan lima juga meningkat 15 peratus dalam gelombang ketiga berbanding lima peratus sebelum ini.

"Malah mereka yang mendapatkan rawatan dalam kategori 4 dan 5 juga meningkat berbanding gelombang kedua.

"Jadi saranan kita kepada masyarakat supaya sentiasa berwaspada, bagi yang dijangkiti dan dirawat sama ada di hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), kita pantau sebaiknya.

"Bagi mereka yang pada awal didapati tidak bergejala tapi kemudiannya bergejala serius (kategori 4 dan 5) minta segera hubungi fasiliti kesihatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 4:11 PM