Maiamalina Mohamed Amin dan Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan Parlimen boleh bersidang semula pada September atau Oktober ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Beliau berkata, ia bakal diadakan dalam tempoh Fasa Ketiga Pelan Pemulihan Negara yang diumumkannya, hari ini.

"Ini pendirian saya daripada awal bahawa sistem demokrasi Parlimen boleh berfungsi semula pada masa sesuai, iaitu setelah kes (Covid-19) terkawal dan kita hampir mencapai imuniti berkelompok.

"Saya akan terus mendokong sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan," katanya dalam Perutusan Khas Mengenai Pelan Pemulihan Negara yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Beliau juga mengingatkan semua pihak supaya tidak sengaja menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat mengenai situasi semasa negara.

"Jangan ada pihak yang sengaja menimbulkan keresahan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat sehingga mengganggu tugas kerajaan untuk menangani pandemik Covid-19," katanya.

Mengenai pelan pemulihan itu, Muhyiddin berkata, ia adalah satu strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik Covid-19, yang mana kerajaan merangka empat fasa berdasarkan pertimbangan sebaik mungkin termasuk mengambil kira ancaman virus yang masih menular dan bilangan kes aktif di hospital.

Gambar fail, Muhyiddin Yassin. FOTO Bernama.
Gambar fail, Muhyiddin Yassin. FOTO Bernama.

"Pelan ini merupakan satu panduan yang dirangka secara berhati-hati berdasarkan data dan sains untuk membolehkan kita semua kembali kepada kehidupan harian biasa.

"Di samping itu, peningkatan bekalan vaksin sebanyak 16 juta dos pada hujung Julai ini serta peningkatan kadar pemberian vaksin harian membuatkan kita lebih yakin untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara," katanya.

Menurutnya lagi, keadaan itu amat berbeza sekali dengan situasi lebih setahun yang lalu apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat kali pertama yang mana negara masih belum mempunyai vaksin.

Katanya, satu-satunya jalan keluar pada masa itu ialah sekatan penuh dan tindakan kesihatan awam untuk memutuskan rantaian jangkitan.

"(Kini) Perkembangan positif kadar vaksinasi harian memberi keyakinan kepada kerajaan bahawa Pelan Pemulihan Negara dapat kita jayakan bersama.

"Ini kerana, lebih ramai yang dilindungi dengan vaksinasi, semakin longgar kawalan pergerakan yang boleh kita laksanakan, lebih banyak sektor ekonomi dan sosial yang boleh dibuka, dan kita boleh mula beralih secara teratur dan selamat kepada norma kehidupan pra pandemik, insya-Allah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 5:32 PM