KIRIMAN Siti Solehah dan suami buat bapanya termasuk surat yang tidak sempat dibaca oleh bapanya. FOTO ihsan Siti Solehah Abd Hamid
KIRIMAN Siti Solehah dan suami buat bapanya termasuk surat yang tidak sempat dibaca oleh bapanya. FOTO ihsan Siti Solehah Abd Hamid
Redzuan Muharam


Jengka: "Jujurnya memang terkilan kerana tidak dapat melihat ayah memakai baju raya kiriman saya dan suami di pagi raya tetapi kami reda dengan ketentuan Allah," luah Siti Solehah Abd Hamid yang kini berduka kerana menyambut 1 Syawal tanpa bapa tercinta, Abd Hamid Dak.

Siti Solehah, 30, berkata, bapanya yang berusia 70 tahun meninggal dunia selepas dilanggar pacuan empat roda di Felda Jengka 25, Bandar Tun Razak, di sini, 2.30 petang kelmarin.

Jenazah Abd Hamid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Jengka 25 kira-kira 11 malam hari yang sama.

Pemergian Abd Hamid yang juga imam Masjid Ar-Rahmah Felda Jengka 25 dan amil zakat mendapat perhatian netizen selepasn Siti Solehah berkongsi kisah itu di Facebook.

Menerusi hantaran sama, Siti Solehah turut memuat naik gambar dua pasang kurta berwarna kelabu dan 'maroon,' bersama surat, biskut, kerepek serta dua sampul berisi wang belanja buat bapa serta ibunya, Zainab Ariffin, 66.

Bercerita lanjut, Siti Solehah yang menetap di Bidor, Perak berkata, dia menghantar kiriman berkenaan sebagai tanda ingatan kerana tidak dapat pulang beraya di kampung tahun ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya menghantar kiriman itu pada Isnin lalu dan sempat sampai ke alamat rumah ayah kelmarin.

"Namun, ayah tidak sempat menerima kiriman berkenaan kerana meninggal dunia pada hari sama bungkusan itu sampai.

"Memang terkejut kerana baru setengah jam berborak dengan emak di telefon, saya dihubungi anak saudara mengenai berita itu,"katanya ketika dihubungi Harian Metro.

GAMBAR kenangan Siti Solehah bersama suami, Muhammad Zawahir Abd Rahim  dan  bapanya, Abd Hamid. FOTO ihsan Siti Solehah Abd Hamid
GAMBAR kenangan Siti Solehah bersama suami, Muhammad Zawahir Abd Rahim dan bapanya, Abd Hamid. FOTO ihsan Siti Solehah Abd Hamid

Menurut Siti Solehah, kali terakhir dia bertemu dengan bapanya adalah ketika pulang ke kampung pada awal Ramadan kerana ibunya menjalani pembedahan mata.

Katanya, ketika itu, bapanya tidak menunjukkan tanda ganjil melainkan kurang selera makan.

"Namun, saya ada bermimpi dua kali ayah meninggal dunia sebelum pemergiannya tetapi suami minta saya tidak memikirkan yang bukan-bukan.

"Emak turut melihat perubahan ayah yang memintanya membayar bil utiliti sendiri, mengajaknya ke bazar Ramadan menaiki motosikal dan pergi meninjau ladang.

"Tak sangka itu petanda ayah akan pergi buat selamanya," katanya yang juga anak bongsu daripada enam beradik.

Siti Solehah berkata, pemergian bapanya adalah kehilangan besar buat mereka sekeluarga terutama menjelang Aidilfitri.

"Ayah tidak banyak bercakap tetapi suka tersengih dan setiap kali pagi raya, dia yang akan mengimamkan solat sunat Aidilfitri, kali terakhir dua tahun lalu iaitu sebelum PKP.

"Tahun ini, Allah makbulkan doa kami berhimpun satu keluarga tetapi dalam kesedihan tanpa ayah.

"Meskipun begitu, saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang mendoakan arwah ayah kerana niat saya berkongsi kisah di Fb sekadar untuk meluahkan apa terbuku di hati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Mei 2021 @ 12:51 PM