ISMAIL Sabri (kiri) bersama Mohd Reza (kanan) melawat Nor Zaharin (dua dari kanan) ketika lawatan kerja di Pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). FOTO Sharul Hafiz Zam
ISMAIL Sabri (kiri) bersama Mohd Reza (kanan) melawat Nor Zaharin (dua dari kanan) ketika lawatan kerja di Pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). FOTO Sharul Hafiz Zam
Noor Hidayah Tanzizi

Lumut: Walaupun kudrat dan pergerakan tidak setangkas dahulu selepas diserang angin ahmar ia tidak melemahkan semangat dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk terus berkhidmat kepada negara.

Bintara Muda (BM) Nor Zaharin Rosland, 39, dan BM Asrul Nizam Ahmad, 36, yang bertugas di Sel Kebajikan Markas Pangkalan Lumut, masing-masing diserang angin ahmar sebelah badan.

Nor Zaharin berkata, dirinya diserang penyakit itu sebanyak dua kali pada 2018 dan pada tahun sama juga kehilangan isteri tercinta, Rosnani Arshad, 30-an, ketika melahirkan anak bongsu lelaki mereka akibat komplikasi jantung.

"Pada mulanya saya diserang angin ahmar ringan selepas pengsan ketika bertugas menebang pokok namun keadaan kembali pulih.

"Tak lama selepas itu saya diserang angin ahmar sekali lagi dan ketika itu juga saya diuji dengan dugaan paling berat apabila kehilangan isteri," katanya ketika ditemui pada lawatan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di kediamannya di Rumah Keluarga TLDM (RKTLDM) Pangkalan TLDM Lumut di sini, kelmarin.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz.

Pada kunjungan itu, Ismail Sabri menyampaikan sumbangan dan beramah mesra dengan dua anggota berkenaan yang nyata turut memberi semangat kepada mereka.

Mengimbas kembali kejadian itu, Nor Zaharin yang mempunyai empat anak berusia antara tiga hingga 14 tahun itu berkata, arwah isterinya mengalami pendarahan ketika usia kandungan tujuh bulan.

"Ketika itu arwah di bilik air dan saya masih kurang berdaya seperti mempunyai kekuatan luar biasa mengangkatnya sebelum dibawa ke 96 Hospital Angkatan Tentera (HAT) Lumut dan kemudian dipindahkan ke Hospital Seri Manjung.

"Dugaan itu memang sangat berat untuk dilalui tetapi demi anak saya perlu cekal dan kuatkan semangat," katanya memberitahu empat anaknya kini dijaga ibunya di Kampung Sahom, Kampar.

Menurutnya, dirinya kini melakukan fisioterapi tiga kali seminggu di HAT Lumut dan mengakui sudah boleh mengangkat tangannya serta akan pulang ke kampung berjumpa anaknya hampir setiap bulan dengan memandu kereta sendiri.

"Saya meneruskan tugas seperti anggota biasa walaupun pergerakan terbatas. Saya sangat bersyukur rakan setugas dan pegawai atasan banyak memudahkan urusan kerja," katanya yang terharu dikunjungi Ismail Sabri.

Sementara itu, Asrul Nizam, separa lumpuh di bahagian tangan dan kaki kiri sejak 2017 turut mengakui keadaan dirinya itu bukan alasan tidak meneruskan perkhidmatan dengan baik.

Menurutnya, dia dan isteri, Noor Zuhaini Yatim, 35, teruja apabila menerima kunjungan Menteri Pertahanan malah menjadikan dirinya lebih bersemangat untuk bertugas biarpun mengakui rindu mahu bertugas di kapal.

"Terima kasih kerana sudi melawat kami dan saya rasa sangat dihargai walaupun hanya berpangkat biasa saja," katanya yang mempunyai tiga anak berusia antara empat hingga 12 tahun.

Menurutnya, sebelum ini beliau bertugas sebagai staf teknikal Kapal Diraja (KD) Ledang dan ketika bertugas kepalanya terhantuk di ruangan enjin sebelum diserang sakit kepala keesokannya.

"Hasil pemeriksaan di hospital mendapati ada darah beku di kepala dan saya kemudian dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk pembedahan sebelum diserang angin ahmar," katanya.

Pada hari sama, Ismail Sabri turut merasmikan stesen pam minyak BHP Mutiara Armada serta hadir menyaksikan demonstrasi dan simbolik penyerahan enam kapal pemintas atau Fast Interceptor Craf (FIC) di Jeti Peluru kemudian berbuka puasa bersama warga TLDM di Masjid An-Nur Pangkalan TLDM Lumut.

ISMAIL (dua dari kiri) menyaksikan Demonstrasi Fast Interceptor Craft di Jeti Peluru Pangkalan TLDM. FOTO BERNAMA
ISMAIL (dua dari kiri) menyaksikan Demonstrasi Fast Interceptor Craft di Jeti Peluru Pangkalan TLDM. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 7:30 AM