PELANGGAN memilih pakaian bundle yang dijual. FOTO Hazreen Mohamad
PELANGGAN memilih pakaian bundle yang dijual. FOTO Hazreen Mohamad
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Bangi: Berkualiti dan harga berpatutan menjadikan pakaian terpakai atau bundle masih terus menjadi pilihan masyarakat.

Stigma bundle sebagai pakaian lusuh tidak benar kerana item itu kini menjadi buruan peminatnya.

Bukan saja menjimatkan, malah pakaian bundle mempunyai kualiti lebih baik kerana diimport dari negara pengeluar sesebuah jenama.

Bagi Saiman Mohd Ruslan, 44, pakaian bundle menjadi pilihan kerana harga yang berpatutan selain mempunyai pelbagai pilihan jenama luar negara.

Katanya, sudah menjadi antara rutin bulanannya untuk membeli seluar, baju kemeja dan baju-T terpakai.

PELBAGAI jenis pakaian berjenama import dijual di kedai bundle milik Muhd Firdaus. FOTO Hazreen Mohamad
PELBAGAI jenis pakaian berjenama import dijual di kedai bundle milik Muhd Firdaus. FOTO Hazreen Mohamad

"Jika pandai memilih, pakaian bundle ini kualitinya lebih baik berbanding dengan pakaian baharu.

"Malah, lebih penting, saya dapat berjimat lebih 70 peratus daripada harga asal," katanya.

Manakala bagi Subandi Pungut, 62, kos sekitar RM50 untuk pakaian berjenama import sudah pasti pilihan yang berbaloi.

Katanya, kualiti pakaian khususnya dari Amerika Syarikat (AS) begitu baik dan harga ditawarkan jauh lebih murah.

"Ini alternatif berjimat dalam keadaan ekonomi serba mencabar kerana apa yang penting adalah kualiti lebih baik dengan harga yang menjimatkan.

"Jika pandai tawar menawar, harga juga boleh dikurangkan penjual," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 12:00 PM