LALUAN kerjaya seni Shah sebagai pelakon masih diterima baik.
LALUAN kerjaya seni Shah sebagai pelakon masih diterima baik.
Najiy Jefri


TIADA istilah terlambat untuk mencari pendapatan sampingan walaupun sudah membina kerjaya lakonan sejak 2006, pelakon, Shah Iskandar bagaimanapun optimis untuk menceburi bidang perniagaan.

Shah berkata, dia bersyukur apabila laluan kerjaya seninya sebagai pelakon masih diterima baik meskipun sudah berkahwin dan bergelar bapa.

"Saya akui untuk kekalkan nama dalam industri seni bukan mudah. Banyak liku dan cabaran yang perlu ditempuhi setiap pelakon untuk kekal relevan.

"Bagi saya setiap pelakon perlu sedar diri yang masa mereka sudah tidak serancak dulu. Namun tidak semestinya pelakon yang pernah memegang watak hero tidak boleh membawakan watak sampingan.

"Sejujurnya saya tak kisah bawak watak apapun. Sehingga hari ini saya menerima banyak tawaran membawakan karakter antagonis. Saya tiada masalah untuk bawakan apa saja karakter asalkan masih ada tawaran untuk kelangsungan hidup.

"Alhamdulillah, tawaran lakonan masih berjalan seperti biasa. Saya menerima tawaran yang bersesuaian dengan umur dan peribadi saya," katanya.

Menurut Shah, dia mengakui tawaran memegang watak hero tidak serancak dulu namun ia tidak mematahkan semangatnya.

Kata Shah, dia perlu mencari cara lain untuk menjana pendapatan sampingan untuk menyara isteri dan anak tercinta.

"Saya akui tawaran memegang watak utama agak berkurangan selepas berkahwin, tapi saya tak ambil pusing atau tertekan.

SHAH tak ambil pusing atau tertekan walaupun tawaran watak utama agak berkurangan.
SHAH tak ambil pusing atau tertekan walaupun tawaran watak utama agak berkurangan.

"Namun saya ambil peluang ini untuk mengubah hidup saya dengan mencari pendapatan sampingan dengan berbisnes.

"Saya juga baru tersedar yang sepatutnya saya patut ada perniagaan sendiri ketika nama saya menjadi sebutan satu ketika dahulu.

"Tapi, mungkin masa itu saya 'lupa diri' sikit sebab duit yang diterima ketika itu dibelanjakan untuk hobi yang saya minat terhadap kereta dan motosikal," katanya pada majlis doa selamat pembukaan ruang acara, Stesen Seni by Kafe Sarawak Johor di Damansara Perdana.

Tubuh Stesen Seni

Bercerita mengenai Stesen Seni, Shah berkata, penubuhan ruang acara itu diwujudkan sebagai satu platform untuk penggiat seni berkarya.

"Mereka yang dimaksudkan ini adalah terdiri daripada pelakon, pelukis, penyanyi, pemuzik dan sebagainya.

"Pembinaan Stesen Seni ini dengan bantuan rakan kongsi, Datuk Sulaiman Dahlan dan Kafe Sarawak Johor akhirnya berjaya disiapkan dengan menggunakan tenaga komuniti ini sendiri.

"Stesen Seni yang berkonsepkan 'kepelbagaian' mempunyai pelbagai fungsi iaitu ruang acara, ruang penggambaran, bilik rakaman muzik dan studio latihan muzik.

SHAH (duduk, kiri) bersama rakan kongsi dan selebriti pada pelancaran Stesen Seni by Kafe Sarawak Johor di Damansara Perdana.
SHAH (duduk, kiri) bersama rakan kongsi dan selebriti pada pelancaran Stesen Seni by Kafe Sarawak Johor di Damansara Perdana.

"Seiring dengan hasrat untuk berkomuniti, kami amat mengalu-alukan pembabitan penggiat seni, baik daripada golongan yang dikenali ramai mahupun mereka yang ingin mula berkecimpung dalam bidang seni," katanya.

Sebagai permulaan, Stesen Seni memulakan langkah dengan mengumpulkan busker di sekitar Lembah Klang.

"Mereka akan diberikan latihan asas muzik dengan bantuan seorang ahli komuniti Stesen Seni iaitu Mohd Hilmie.

"Selain itu, ruang acara ini juga berkolaborasi dengan pihak 'Canorous' yang juga sebuah komuniti yang ahli-ahlinya adalah penyanyi yang bergiat aktif dalam aplikasi Smule," katanya.

Ditanya mengenai kos ruang acara itu, Stesen Seni dibina hasil kudrat beberapa rakan lain yang optimis untuk membina ruang acara itu.

"Saya bersama rakan-rakan yang membuat dan membeli segala peralatan untuk membina Stesen Seni. Kami tidak mengupah sesiapa untuk membuat pengubahsuaian tempat terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 6:40 AM