MUZIK jadi terapi buat Julia.
MUZIK jadi terapi buat Julia.
Syafil Syazwan Jefri


SETIAP manusia punya ketakutannya yang tersendiri. Bagi pelakon, Julia Farhana Marin, dia juga tidak menafikan dirinya berdepan dengan satu ketakutan.

Pernah berdepan situasi menjadi mangsa buli ketika zaman remaja banyak mengubah dirinya menjadi seorang yang sangat takut untuk bersikap terlalu terbuka.

Menginjak usia, Julia kini mula keluar dari zon selesanya, sekali gus melawan ketakutan yang dialaminya dan cuba untuk menjadi wanita yang lebih kuat.

"Saya ada banyak kelemahan dan ketakutan, antaranya untuk berdepan orang ramai dan cara untuk berkomunikasi. Saya juga takut sekiranya sesuatu yang saya lakukan tidak diterima," katanya.

Berkongsi mengenai masa silamnya ketika kerap menjadi mangsa buli, Julia mengakui bahawa langkah yang dipilih untuk mengatasi buli pada saat itu adalah langkah kurang tepat.

"Saya membesar di Australia. Apabila kembali ke Malaysia, saya mula berdepan situasi sebagai mangsa buli. Kesannya saya takut untuk berkawan dengan rakan-rakan Melayu dan saya sertai pelajar lain dalam kelas Pendidikan Moral.

"Lebih parah, tindakan saya itu menyebabkan Jabatan Agama Islam hadir ke sekolah kerana saya tak mahu masuk kelas Pendidikan Islam. Ini kerana saya takut dibuli dan saya diserang sehingga saya sendiri rasa fobia.

BERKOLABORASI dengan Awi Rafael dalam Jangan Lupakan Aku.
BERKOLABORASI dengan Awi Rafael dalam Jangan Lupakan Aku.

"Saya cuba mempertahankan diri sebab saya terlalu takut. Saya berkata kepada diri, saya perlu lawan. Namun, rupa-rupanya langkah itu bukan langkah yang tepat," katanya.

Setiap hari, dia cuba belajar untuk melihat bahawa tidak semua orang adalah pembuli dan kini memilih untuk keluar dari ketakutan itu.

"Mungkin ramai yang jarang nampak saya di mana-mana majlis atau ada mendengar apa-apa perkongsian saya secara terbuka mengenai apa-apa perkara sebab saya masih ada rasa ketakutan itu.

"Namun apabila terbabit dalam industri hiburan, saya belajar untuk menerima keadaan dan saya mula mengenali pelbagai jenis manusia. Jadi, tak semua orang bersikap negatif.

"Tak semestinya semua orang sama seperti mereka yang membuli saya suatu ketika dahulu. Apa yang berlaku menjadikan saya lebih kuat," katanya.

Menyentuh mengenai kesihatan mental, Julia menegaskan bahawa ia adalah satu isu serius yang patut diberikan perhatian.

"Saya sendiri juga mengalami 'anxiety' atau kecelaruan keresahan lebih-lebih lagi jika saya gemuruh untuk melakukan sesuatu. Kesihatan mental sangat penting dan tidak boleh dipandang ringan.

"Apabila saya berjumpa peminat yang berkongsi mengenai 'anxiety' yang mereka alami, saya akan peluk mereka sebab saya tahu bagaimana rasanya berdepan masalah itu," katanya.

Salah satu cara untuk dia mencabar dirinya adalah dengan menggunakan muzik sebagai medium. Terbaharu, Julia bekerjasama dengan Awi Rafael dan kini hadir dengan single baharu berjudul Jangan Lupakan Aku.

"Ini adalah kali pertama saya menyanyi secara langsung dan hadir dengan single. Secara tak langsung, ini juga adalah cara untuk saya melawan ketakutan dalam diri saya.

"Kalau anda nak tahu, majlis pelancaran Jangan Lupakan Aku sebenarnya sudah tiga kali ditunda sebab saya sendiri takut untuk membuat persembahan. Tapi, apabila pihak pengurusan meminta supaya ia diteruskan, saya beranikan diri," katanya.

Menurutnya, seni muzik adalah satu medium terbaik untuknya mengekspresikan diri selain lakonan.

"Seperti yang saya kongsikan, karier seni saya banyak mengubah diri saya. Industri ini membuka sisi lain seorang Julia Farhana. Secara tak langsung, menerusi muzik juga saya dapat mengekspresikan diri saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 7:00 AM