Kos pelaksanaan ibadat haji tahun ini dijangka meningkat.
Kos pelaksanaan ibadat haji tahun ini dijangka meningkat.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kos pelaksanaan ibadat haji tahun ini dijangka meningkat berikutan Cukai Nilai Tambah (VAT) yang diperkenalkan kerajaan Arab Saudi naik kepada 15 peratus berbanding lima peratus pada tahun sebelum ini.

Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji (TH) Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman berkata, kenaikan kos ibadat haji itu tidak dapat dielakkan mengambil kira beberapa aspek termasuk bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Pelaksanaan haji tahun ini akan berbeza berbanding tahun sebelumnya kerana pada 2019 dan 2020 kos haji adalah RM22,900.

"Dengan mengambil kira tahun semasa, termasuk VAT dan situasi pandemik, sudah pasti akan ada peningkatan kos yang dianggarkan akan naik kepada kira-kira RM25,000.

"Namun, peningkatan ini belum mengambil kira pelaksanaan peraturan baharu dan SOP berkaitan Covid-19 dan sebagainya yang masih belum diketahui dan perkara ini mungkin akan memberi kesan kepada kos menunaikan haji," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, bagaimanapun, kadar bayaran yang perlu ditanggung jemaah haji negara masih belum ditetapkan.

Ketika ini, bayaran yang perlu ditanggung jemaah haji negara adalah RM9,980 dan tidak pernah berubah sejak 2009 manakala baki RM12,920 ditanggung TH.

Sementara itu, Syed Saleh berkata, TH turut menasihatkan bakal haji Malaysia agar bersedia menerima sebarang perubahan terkini dan kemungkinan adanya peraturan baharu yang diperkenalkan TH dan pihak berkuasa Arab Saudi kesan pandemik Covid-19.

"Walaupun sehingga kini masih tiada kepastian mengenai pelaksanaan haji tahun ini, TH perlu mengambil langkah untuk bersedia.

"Kerajaan Malaysia dan TH masih lagi menunggu pengumuman rasmi kerajaan Arab Saudi berkaitan urusan haji dan jumlah jemaah haji negara yang dibenarkan untuk melaksanakan rukun Islam yang ke lima tahun ini," katanya.

Menurutnya, semua bakal haji juga disaran membuat persiapan sewajarnya daripada segi ilmu, kesihatan, rohani, jasmani serta kewangan.

Beliau berkata, TH komited menganjurkan kursus haji dalam talian bermula sejak awal tahun ini sebagai persediaan melengkapkan bakal haji dengan ilmu pengetahuan berkaitan ibadat haji serta mendapat gambaran suasana terkini.

"Malah, seperti yang dilaporkan dalam media, Menteri Kesihatan Arab Saudi sudah menyatakan pengambilan vaksin Covid-19 menjadi satu syarat wajib untuk semua bakal haji yang ingin menunaikan fardu haji pada musim ini.

"Justeru, TH turut menasihatkan bakal haji yang menerima surat tawaran menunaikan haji pada musim haji 1441H/2020M yang lalu segera mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera," katanya.

TH juga akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membantu urusan pendaftaran bakal haji khususnya yang berusia dan tidak mempunyai akses Internet secara langsung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mac 2021 @ 8:00 AM