Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan penjajaran kandungan kurikulum pendidikan bagi menjamin kesinambungan pembelajaran murid yang terkesan susulan penutupan sekolah akibat Perintah Kawalan Pergerakan.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, ia membabitkan penyusunan semula kandungan, pedagogi dan pentaksiran berdasarkan hasil pembelajaran yang dihasratkan.

Katanya, melalui penjajaran kurikulum itu juga guru boleh merancang pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan melaksanakan kaedah pembelajaran teradun.

"Pembelajaran teradun membabitkan gabungan teknik pengajaran bersemuka di dalam bilik darjah atau pembelajaran di rumah yang dirancang secara berstruktur.

"KPM turut memberi bimbingan pelaksanaan kurikulum yang dijajarkan dalam tempoh persekolahan yang berbaki bagi tahun 2020 termasuk kunjung bantu dan penerangan secara dalam talian," katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mengenai apakah usaha kementerian dalam memastikan kualiti pembelajaran murid-murid sekolah dapat dikekalkan dan tidak terjejas berikutan penutupan sekolah.

Dr Mah berkata, KPM juga menyediakan Manual Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebagai panduan kepada guru dalam melaksanakan PdPR secara berstruktur dan terancang supaya murid dapat mengikuti pembelajaran secara optimum.

"Manual PdPR ini meliputi pendekatan secara dalam talian (online), luar talian (offline) dan off-site sama ada menggunakan modul pembelajaran atau pembelajaran berasaskan projek.

"Bagi membantu murid yang tidak mempunyai akses internet atau peranti yang sesuai, guru mengambil inisiatif melaksanakan PdP melalui serahan bahan pembelajaran kepada murid mengikut kesesuaian," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 1:33 PM