LELAKI yang ditemui Raja Farah Sofea. FOTO Ihsan Raja Farah Sofea Raja Afiq
LELAKI yang ditemui Raja Farah Sofea. FOTO Ihsan Raja Farah Sofea Raja Afiq
Redzuan Muharam


"NIAT sebenar saya hanya untuk menyebarkan aura positif dalam kalangan pengikut, namun apa yang jadi (maklum balas diterima) di luar jangkaan," kata Raja Farah Sofea Raja Afiq Zulkifli.

Raja Farah Sofea, 25, yang juga seorang jurutera memberi reaksi itu ketika diminta mengulas mengenai kisah pertemuannya dengan seorang lelaki warga emas berbangsa Cina, baru-baru ini.

Kisah itu dikongsikan Raja Farah Sofea menerusi ciapan di Twitter dan mendapat pelbagai maklum balas positif daripada warganet susulan tindakannya membantu membelikan makanan untuk warga emas berkenaan.

Menceritakan kisah sebenar, Raja Farah Sofea, 25, berkata, kisah dikongsinya itu berlaku Ahad lalu di hadapan sebuah restoran makanan segera di Shah Alam, Selangor.

"Saya tergerak hati untuk membantu selepas terdengar perbualannya dengan seorang kakitangan restoran makanan segera.

"Dia bertanya apa yang boleh diperoleh dengan wang RM10 tetapi beredar selepas kakitangan memberitahu harga set makanan.

"Melihat keadaannya, saya beranikan diri untuk menyapanya untuk bertanya lebih lanjut. Menurut pak cik itu, dia mahu membelikan makanan untuk cucunya tetapi wang yang ada tidak cukup," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

CIAPAN Raja Farah Sofea di Twitter. FOTO Twitter
CIAPAN Raja Farah Sofea di Twitter. FOTO Twitter

Simpati dengan apa yang berlaku, Raja Farah Sofea tidak berlengah sebaliknya terus membelikan set makanan untuk lelaki berkenaan.

Namun, Raja Farah Sofea tidak sempat bertanya lebih lanjut mengenai latar belakang lelaki berkenaan kerana pertemuan mereka berlaku dalam tempoh yang singkat.

"Saya tidak sempat bertanya banyak perkara kerana hanya mahu membantunya ketika itu.

"Apa yang pasti, saya lihat senyuman terukir di wajahnya selepas saya menyerahkannya bungkusan set makanan dan rasa seronok kerana dapat membantu.

"Mesej cuba saya sampaikan adalah mengenai amalan bersedekah yang tidak terbatas untuk individu sebangsa dan seagama saja tetapi kepada sesiapa saja yang memerlukan, Lagipun, dalam rezeki kita, ada bahagian orang lain," katanya.

Sehingga artikel ini ditulis, ciapan Raja Farah Sofea mendapat 23,700 tanda suka dan 16,400 ulang ciap.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 8:55 PM