TAN SRI MUSA Aman. FOTO Arkib NSTP
TAN SRI MUSA Aman. FOTO Arkib NSTP
Wartawan HM

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman daripada 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram kontrak konsesi balak di Sabah.

Ia berikutan pihak pendakwaan menarik balik 16 pertuduhan pengubahan wang haram dan 35 pertuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak itu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan pihak pendakwaan dalam prosiding hari ini yang sepatutnya ditetapkan untuk pengurusan kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Azhar Abdul Hamid memaklumkan bahawa terdapat perkembangan baru dan arahan daripada Jabatan Peguam Negara adalah untuk menarik balik semua pertuduhan terhadap Musa.

Sementara itu, peguam Francis Ng Aik Guan yang mewakili Musa memohon mahkamah untuk melepas dan membebaskan anak guamnya bagi mengelakkan daripada tuduhan tergantung.

Mahkamah dalam prosiding hari ini turut membatalkan permohonan pihak pembelaan untuk membatalkan pertuduhan dan permohonan bagi mencabar keperlembagaan Seksyen 82(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Musa berdepan 35 pertuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak di Sabah membabitkan wang berjumlah AS$63.3 juta, dan 16 pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram bernilai lebih AS$37.8 juta serta S$2.5 juta.

Musa didakwa sebagai seorang ejen Kerajaan Sabah, iaitu Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, secara rasuah memperoleh untuk diri sendiri, suapan daripada lapan pemilik konsesi balak yang berjumlah AS$63.3 juta.

Mengikut pertuduhan, wang suapan itu sebagai dorongan untuk melakukan perbuatan berhubung hal ehwal prinsipal tertuduh, iaitu memberi kontrak konsesi balak Sabah kepada 16 syarikat.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di lapan bank serta institusi kewangan di Hong Kong, China dan Singapura antara 20 Disember 2004 hingga 6 November 2008.

Semua pertuduhan terhadap Musa dibuat mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.

Musa juga menghadapi 16 pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram bernilai lebih AS$37.8 juta dan S$2.5 juta.

Mengikut pertuduhan pertama, Musa didakwa membabitkan diri secara tidak langsung dalam transaksi pengubahan wang haram dengan mengarahkan Richard Christopher Barnes, 67, untuk membuka satu akaun di UBS AG atas nama lelaki itu bagi tujuan menerima hasil aktiviti haram.

Tertuduh juga berdepan pertuduhan alternatif, iaitu menyembunyikan pemilikan hasil aktiviti haram berkenaan.

Bagi pertuduhan kedua hingga sembilan dan 11 hingga 15, Musa didakwa secara tidak langsung membabitkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu menerima AS$37,845,491.60 daripada beberapa individu melalui akaun atas nama Barnes yang jumlah itu adalah daripada hasil aktiviti haram tertuduh.

Bagi pertuduhan ke-10 pula, Musa didakwa menerima S$2.5 juta atas sebab sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 10:42 AM