AMYRA Rosli mengalami keracunan makanan. FOTO ihsan IG
AMYRA Rosli mengalami keracunan makanan. FOTO ihsan IG
Ridzuan Abdul Rahman


"DIA muntah-muntah sehingga tujuh kali selain mengalami cirit-birit akibat keracunan makanan. Melihat keadaannya yang semakin lemah, saya terus bawanya ke hospital," kata pelakon Amar Baharin mengenai isterinya yang juga pelakon, Amyra Rosli yang mengalami keracunan makanan, semalam.

Amar menerusi Instagram memuat naik gambar Amyra yang terbaring di atas katil sebuah hospital.

Amar ketika dihubungi berkata, sebaik tiba di hospital, doktor segera memberikan ubat tahan muntah dan memasukkan air ke dalam badannya untuk mengelakkan tenaganya dari terus berkurangan.

"Selepas dua jam ditahan, Amyra kemudiannya dibenarkan pulang dan berehat di rumah. Saya tak pasti punca keracunan kerana kami hanya makan di rumah bersama keluarga.

"Saya syak mungkin juga dia makan kerang yang tercemar. Itu yang buatkan dia keracunan," katanya. Menurutnya, dia bimbang melihat keadaan Amyra yang lemah dan segera bertindak membawanya ke hospital.

Amar juga bimbang kerana anak mereka, Ayra Aryssa yang berusia empat bulan masih menyusu badan dan dia takut sekiranya berlaku apa-apa jangkitan.

"Malam tadi saya ambil alih menjaga Aryssa dan abangnya Aqeef Anaqi untuk memberi Amyra rehat secukupnya. Saya bersyukur kerana keadaannya tak serius dan semakin pulih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 5:30 PM