AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Air Tawar Rizam Ismail (dua dari kiri) menziarahi keluarga Allahyarham Dahlan. FOTO ihsan pembaca. (Gambar kecil) Allahyarham Dahlan. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Air Tawar Rizam Ismail (dua dari kiri) menziarahi keluarga Allahyarham Dahlan. FOTO ihsan pembaca. (Gambar kecil) Allahyarham Dahlan. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


MALAM tadi, Dahlan Abdul Salam, 48, berjanji dengan anak-anaknya untuk mendengar dan menyemak bacaan ayat suci al-Quran diperdengarkan mereka.

Selepas menunaikan solat Maghrib di Surau Pacitan Parit Baru, Dahlan yang juga guru di Maahad Tahfiz Ummul Qura', Kampung Tebuk Mufrad, Sabak Bernam berjalan pulang ke rumahnya di Jalan Seri Jaya, Parit Baru, Sungai Air Tawar.

Bagaimanapun, Allah SWT lebih menyayanginya apabila Dahlan meninggal dunia dilanggar Proton Wira jam 8.20 malam.

Pemandu Proton Wira berusia 32 tahun selamat.

Isteri Allahyarham, Siti Nor Amalina Kameludin, 36, berkata, suaminya kerap berpesan supaya menjaga anak-anak dengan baik selain memeriksa bacaan al-Quran mereka.

"Sebelum ini, arwah kerap berpesan supaya saya menjaga anak dan periksa bacaan al-Quran mereka. Dengan anak-anak pun, suami selalu berpesan, 'kalau abah dah tak ada, siapa nak tolong ibu?'.

"Suami menyimpan hasrat untuk melihat anak-anak kami menjadi hafiz dan hafizah. Setiap hari, anak akan membaca dua juzuk al-Quran dan kami berdua akan mendengar serta menyemak bacaan.

"Kebetulan, sekolah tidak dibuka lagi. Jadi, saya dan suami ambil kesempatan ini untuk membuat kelas al-Quran untuk anak anak," katanya ditemui.

Dalam pada itu, Amalina berkata, dia sempat beraya bersama Allahyarham dan anak-anak di kampung halamannya di Kampung Simpang Lima, Sungai Besar, semalam.

"Semasa di kampung, suami melayan tetamu yang datang daripada selepas Zohor hingga sebelum Asar. Saya nampak dia dengan anak-anak kurang bercakap dan banyak mendiamkan diri.

"Pada awalnya, saya anggap suami mungkin kepenatan kerana melayan tetamu. Walaupun sedih namun kami reda dengan ketentuan Allah SWT," katanya.

Adik Allahyarham, Mohd Azam, 46, berkata, Dahlan disifatkan sebagai seorang yang menjaga solat dan mesra dengan ahli keluarga.

"Setiap kali azan dilaungkan, abang akan meninggalkan kerja yang dilakukannya dan bergegas ke surau untuk bersembahyang jemaah. Abang cukup menitikberatkan hal berkaitan solat.

"Kehilangannya bukan saja memberi tamparan hebat kepada keluarga, malah kepada sahabat handai, khususnya yang selalu bersamanya ketika keluar ke jalan Allah SWT," katanya.

Allahyarham meninggalkan isteri, Siti Nor Amalina dan empat anak, Nurin Qistina, 17, Durrotun Nasihin, 15, Muhammad Suraim Asadi, 13 dan Sughairotun Ajmal, 7.

Jenazah disolatkan di Masjid Ar-Rahman, Kampung Sungai Apong sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Apong hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, pemandu Proton Wira tidak perasan mangsa sedang berjalan di tengah jalan raya kerana keadaan gelap dan tiada lampu di kawasan itu.

"Mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita berkaitan

Guru pulang surau maut dilanggar

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 3:09 PM