Status palsu yang tular di Facebook mengenai perintah berkurung dan jangkitan Covid-19 di Brickfields.
Status palsu yang tular di Facebook mengenai perintah berkurung dan jangkitan Covid-19 di Brickfields.
Suraya Roslan

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan kawasan Brickfields, Kuala Lumpur dikenakan perintah berkurung seperti tular di media sosial.

Agensi itu di Facebook rasmi mereka menafikan dakwaan penularan itu dan meminta orang ramai tidak berkongsi berita tidak sahih berkenaan.

"Ini adalah berita palsu, jangan kongsi atau tularkan gambar ini," katanya.

Gambar sekumpulan anggota barisan hadapan berpakaian lengkap peralatan perlindungan diri (PPE) didakwa di kawasan Brickfields di belakang bangunan YMCA dikenakan perintah berkurung berikutan terdapat empat kes positif Covid-19.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi, berkata, siasatan dan semakan lanjut dengan pihak KKM dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat mendapati ia berlaku pada 16 Mei lalu di kawasan Kuala Langat, Selangor.

"Orang ramai terutama penduduk di Brickfields tidak perlu rasa takut dengan ketenteraman awam serta keselamatan di kawasan itu yang dalam keadaan baik serta terkawal dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zairulnizam berkata, orang ramai dinasihatkan menyemak setiap maklumat yang diterima dan lebih bertanggungjawab dalam menyebarkan sebarang maklumat tidak sah dan memastikan sumber sepatutnya atau dari pihak berkuasa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (Akta 588) kerana mengedar atau menyebarkan maklumat tidak benar melalui media sosial hingga menganggu gugat ketenteraman awam.

"Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 12:06 PM