DR NOOR Hisham ketika sidang media berhubung situasi semasa jangkitan COVID-19 di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
DR NOOR Hisham ketika sidang media berhubung situasi semasa jangkitan COVID-19 di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim


KAWALAN sempadan dan pergerakan adalah langkah penting yang perlu dilaksanakan kerajaan sebaik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan, bagi mengelak berlaku penularan semula wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua langkah itu antara enam langkah disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dilaksanakan selepas PKP.

“Langkah pertama ialah kawalan sempadan untuk mengawal kemasukan kes import. Kalau tiada kawalan sempadan kes import boleh membawa virus (Covid-19) ke negara kita.

“Kedua ialah kawalan pergerakan di mana kita nak kurangkan kebolehjangkitan. Sekarang ini kita ada 2,041 kes kebolehjangkitan dan itu tinggi.

“Kita kena sekat virus menjangkiti orang ramai. Walaupun kita ada kes positif tetapi mereka diasingkan di hospital dan tak menjangkiti orang lain,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai pemimpin Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran malapetaka bakal berlaku susulan tindakan beberapa negara mula melonggarkan peraturan khusus bagi membasmi pandemik Covid-19.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dilaporkan berkata, beliau percaya virus yang sudah menjangkiti 2.5 juta penduduk dan meragut lebih 166,000 nyawa secara global itu berupaya menjadi lebih buruk.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, empat langkah lain adalah melindungi golongan berisiko, memantapkan sistem kesihatan, pengamalan kebiasaan baharu dan mengenal pasti kawasan jangkitan.

Selain itu, beliau berkata, KKM membentuk kerjasama serantau bersama WHO untuk berkongsi pandangan dan pendapat mengenai pandemik itu.

“Kerjasama serantau memang kita ada. Kita ada mesyuarat dari semasa ke semasa dengan WHO berkongsi pendapat dan juga mendapat tunjuk ajar atau garis panduan yang dikeluarkan oleh WHO.

“Dengan itu kita dapat mantapkan kerjasama antara kita di peringkat Asean dan negara lain di bawah WHO,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 8:40 PM