GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hadzlihady Hassan


ATAS laporan, semuanya nampak asli berserta bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan kejadian samun di sebuah stesen minyak di Bandar Perda, di sini.

Namun, siasatan lanjut polis ke atas laporan itu menyerlahkan sesuatu yang tidak kena dalam insiden berkenaan yang rupa-rupanya hanya rancangan ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat jual beli emas dan pemandunya.

Samun ‘olok-olok’ itu dirancang mereka demi membolehkan CEO berkenaan menuntut insurans yang difahamkan pampasannya boleh mencecah jutaan ringgit.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, laporan dibuat CEO berusia 26 tahun itu yang mendakwa disamun seorang lelaki membabitkan kerugian RM1 juta pada Sabtu lalu.

“Dalam laporannya dia mendakwa bersama pemandunya berusia 30 tahun keluar dari kedai emas di Bandar Perda di sini, pada jam 3.50 petang, selepas selesai urusan perniagaan dan membawa sebuah beg mengandungi wang tunai RM418,000 dan pelbagai barang kemas bernilai lebih RM600,000.

Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid
Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid

“Mereka mendakwa berhenti di stesen minyak di kawasan itu dan pemandunya keluar untuk membeli air. Dakwanya, seorang lelaki tiba-tiba masuk melalui pintu tempat duduk belakang kenderaan dan terus mengambil beg terbabit.

“Dakwanya lagi, lelaki itu kemudiannya melarikan diri dengan motosikal dan kejadian dirakam CCTV di stesen minyak berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, Nik Ros Azhan berkata, siasatan lanjut pihaknya mendapati samun dilaporkan itu insiden palsu yang dirancang semata-mata untuk membolehkan CEO syarikat beroperasi di Batu Pahat, Johor berkenaan menuntut insurans.

Berikutan itu, dia dan pemandunya ditahan pada Ahad lalu, sebelum dua lagi lelaki berusia 51 dan 23 tahun diberkas kerana bersubahat.

“Dua suspek itu didapati bertindak sebagai penasihat dan ‘penyamun’, malah mereka memilih stesen minyak supaya insiden dapat dirakam CCTV untuk meyakinkan polis.

“Siasatan lanjut juga menemui beg yang dilarikan ‘penyamun’ itu, dibuang dalam longkang di kawasan berhampiran. Di dalamnya hanya mengandungi batu,” katanya.

Menurutnya, semua suspek direman selama enam hari untuk siasatan lanjut mengikut 182 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 6:02 AM