Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI, pelakon dan pengacara, Elly Mazlein kini sah bergelar tunang kepada pasangannya, Mohamad Azlan dalam majlis yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur tengah hari ini.

Majlis pertunangan itu disempurnakan oleh ibu Azlan, Zaiton Abdullah yang menyarungkan cincin di jari manis penyanyi lagu Atas Nama Cinta itu.

Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi ketika ditemui meluahkan rasa syukur atas kelancaran majlis itu.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Jadi, saya rasa sangat bahagia dapat meraikan majlis pertunangan ini dan berkongsi rasa bahagia bersama keluarga serta rakan-rakan media,” katanya kepada Harian Metro.

Masih belum berkongsi wajah tunangnya, Elly memaklumkan akan berbuat demikian pada majlis berinai yang akan berlangsung Januari nanti.

ELLY bakal dijabkabulkan dengan Azlan pada 17 Januari 2020 dan dalam bulan sama.
ELLY bakal dijabkabulkan dengan Azlan pada 17 Januari 2020 dan dalam bulan sama.

“Dia bukanlah orang industri. Jadi, dia perlukan sedikit masa untuk biasakan diri. Saya pun dah mula mengajaknya ke majlis keramaian untuk biasakannya dengan orang industri.

“Insya-Allah, saya akan perkenalkannya kepada semua menjelang majlis berinai yang akan berlangsung Januari nanti,” katanya.

Elly bakal dijabkabulkan dengan Azlan pada 17 Januari 2020 dan dalam bulan sama, akan turut berlangsung majlis berinai, majlis resepsi serta majlis menyambut menantu di Kuala Krai, Kelantan.

Majlis pertunangan yang diadakan secara tertutup itu dihadiri keluarga terdekat kedua belah pihak serta rakan media.

Hampir 200 tetamu yang hadir dihiburkan dengan persembahan penyanyi Indah Ruhaila dan Siti Sarah.

Di majlis itu juga, pihak lelaki menghantar lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak Elly.

Untuk rekod, Elly dan Azlan berkenalan pada Ogos tahun lalu sebelum majlis merisik berlangsung pada 19 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Disember 2019 @ 2:38 PM