NANA sudah lali dengan gosip, Khai akui bukan jenis memilih
NANA sudah lali dengan gosip, Khai akui bukan jenis memilih
Oleh Syafil Syazwan Jefri


KERAP kali bergandingan membuatkan ramai peminat percaya Siti Nordiana dan Khai Bahar menjalin hubungan istimewa.

Terbaharu, dua figura terkenal ini menjayakan drama Satukan Rasa selepas tampil dengan single duet judul serupa.

Siti Nordiana yang mesra membahasakan dirinya Nana mengakui sudah lali digosipkan dengan selebriti lelaki.

“Selagi tak berkahwin, selagi itulah saya akan digosipkan. Kalau dengan Khai, ada kumpulan peminat yang benar-benar ‘merestui’ kami dan mereka sayangkan kami,” kata Nana membuka sesi temu bual.

Namun, dalam pada itu Nana tidak menafikan terselit rasa bimbang sekiranya tanggapan kononnya dia dan Khai sedang bercinta akan membuatkan orang ramai mula bosan.

“Kalau kita terlalu ‘memberi’ sangat pun, risau juga andai ada yang mula bosan. Jika ada lagi buah tangan baharu daripada kami baik dalam bentuk lagu mahupun drama selepas ini, saya akan pertimbangkan.

“Lagipun, Khai ada karier solo yang perlu diberi perhatian dan sudah tentu dia ada rancangan untuk meluaskan kerjaya seninya,” kata Nana. Bercerita lanjut gandingannya dengan penyanyi yang popular dengan lagu Luluh itu, kata Nana ia bermula sejak tiga tahun lalu.

“Ketika itu Khai muncul di aplikasi Smule dan ramai cakap dia rakan duet terbaik saya selepas arwah Achik Spin.

“Sejak itu, momentum berkenaan terus kekal sehingga ke hari ini,” katanya.

Bagi Khai pula, dia dan Nana tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan atau menunjukkan tanda mereka sedang bercinta.

“Itu semua perancangan untuk karier kami. Tak pernah pula uar-uarkan kami bercinta atau tidak.

“Kalau saya mengaku ada orang yang tak suka dan jika sebaliknya pun, akan ada tak senang,” katanya.

Ditanya sama ada Nana memiliki ciri-ciri wanita idamannya, Khai berkata dia bukan individu yang terlalu memilih.

“Kalau nak cakap mengenai kriteria wanita pilihan, saya tak pandai nak ulas. Saya bukan orang yang terlalu cerewet dan memilih.

“Kalau ada jodoh, adalah. Kalau tidak, maknanya tidak ada jodoh,” katanya.

LAKONAN Khai dan Nana dalam drama Satukan Rasa
LAKONAN Khai dan Nana dalam drama Satukan Rasa

Drama Satukan Rasa

Bercerita mengenai drama terbaharu lakonan mereka berjudul Satukan Rasa, ia adalah karya pertama yang meletakkan Khai sebagai teraju utama.

Menurut Khai, karakter Jai Bakri ada persamaan dengan dirinya yang sebenar.

“Mungkin kerana itu tak terlalu sukar untuk saya membawakan watak ini. Namun, apabila tonton semula lakonan saya, ada beberapa kekurangan yang perlu diperbaiki pada masa depan.

“Banyak lagi yang perlu saya belajar dan kuasai jika mahu menceburi bidang lakonan secara serius,” katanya.

Khai turut memaklumkan sebelum melangkah masuk ke set penggambaran drama arahan Hadith Omar itu, dia menyertai kelas lakonan di bawah kelolaan bintang berkaliber Zul Huzaimy.

“Zul guru lakonan saya. Menurutnya semua orang boleh berlakon, namun bakat itu perlu digilap supaya bersinar dan paling penting lakonan itu perlu ada jiwa,” katanya.

Sementara itu, Nana menegaskan tiada masalah berlakon di samping Khai meski gandingannya itu baru pertama kali menjayakan drama.

“Khai cepat belajar. Awalnya mungkin dia nampak kekok, tetapi lama-kelamaan dia rasa selesa beraksi depan kamera,” katanya.

Mengulas watak Indah Suhaila, Nana berkata ia dekat dengan hidupnya yang sebenar.

“Latar belakang kami sama iaitu penyanyi dan bergelar ibu tunggal.

“Jadi, ada beberapa babak dapat saya jiwai dengan baik kerana boleh dikaitkan dengan pengalaman diri sendiri,” katanya.

Antara pelakon yang turut membintangi drama Satukan Rasa ialah Nine Billy Zulkarnain, Yusuf Bahrin dan Isyariana.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 5:20 AM