TAWIL ketika ditemui Harian Metro menerusi program Metro Prihatin, baru-baru ini.
TAWIL ketika ditemui Harian Metro menerusi program Metro Prihatin, baru-baru ini.
Redzuan Muharam


NASIB pelakon veteran, Tawil atau nama sebenarnya, Abu Bakar Ahmad, 67, tidak pernah dipandang sepi Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN).

Presidennya, Zed Zaidi berkata, bintang filem Prebet Lapok itu ada menerima sumbangan dan pertolongan daripada persatuan sebagai perantara.

Menurut Zed, salah satu inisiatif yang dilakukan adalah dengan mengusulkan nama Tawil sebagai penerima sumbangan dalam rancangan hiburan terbitan sebuah stesen televisyen berbayar.

“Beliau (Tawil) sudah lama bernaung di bawah SENIMAN dan persatuan memang ada menyampaikan sumbangan kepadanya termasuk menjelang musim perayaan.

“Terbaru, kami cadangkan namanya kepada sebuah syarikat televisyen berbayar yang menerbitkan program hiburan dan Alhamdulillah, dia terpilih sebagai penerima sumbangan pada episod pertama.

“Ia salah satu inisiatif persatuan memastikan kebajikannya terbela begitu juga dengan ahli lain yang memerlukan bantuan.

“Namun, kewangan kami terhad jadi suntikan dana daripada syarikat korporat dan kerajaan sangat diharapkan bagi memperjuangkan nasib anak seni,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Pada 25 September lalu, saluran Youtube Metro TV menerusi program Metro Prihatin menyiarkan video rakaman temubual bersama Tawil yang berkongsi kisah kehidupannya selepas tidak aktif bergelar anak seni,

Tawil yang menyewa di Serendah bersama isterinya, Azah Abdul Kahar, 66, turut berkongsi pengalamannya menjadi mangsa penipuan pelaburan dan perkhidmatan katering tidak dibayar hingga menyebabkannya menanggung kerugian lebih RM300,000.

Berikutan itu, Tawil terpaksa menjual kediaman dan menutup perniagaan yang menjadi sumber mata pencariannya dan isteri ketika itu.

Percubaannya untuk bangkit dengan berniaga makanan di tepi jalan juga tidak berhasil berikutan persaingan sengit dan masalah kesihatan iaitu sakit lutut, saraf dan darah rendah.

Kini, Tawil berharap permohonannya untuk menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) diluluskan bagi mengurangkan bebannya yang perlu menjelaskan sewa rumah sebanyak RM500 setiap bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 7:00 PM