SELAIN sasar pasaran negara Tembok Besar, Masya juga bakal tampil dengan single lagu Mandarin.
SELAIN sasar pasaran negara Tembok Besar, Masya juga bakal tampil dengan single lagu Mandarin.
Syanty Octavia Amry


USIANYA masih muda namun semangatnya begitu besar dalam mengejar impian menjadi penyanyi serba boleh. Berasakan peluang yang datang mesti digunakan dengan sebaik-baiknya, Masya Masyitah, 19, mengorak langkah dengan melebarkan kerjayanya China.

Memilih China sebagai destinasi kedua mengembangkan kerjaya seni, pemilik nama sebenar Siti Nur Masyitah Yusoff ini mengakui gemar lagu Mandarin.

“Sejak membabitkan diri dalam bidang seni, saya mempunyai impian mahu kerjaya seni berkembang ke negara lain.

“Saya tidak pernah terdetik China yang menjadi pilihan, tetapi selepas menyedari begitu meminati lagu Mandarin, saya fikir tidak salah mencuba pasaran seni di sana.

“Saya anggap ia peluang keemasan yang perlu digunakan sebaik-baiknya tak kira berjaya atau tidak, sekurang-kurangnya sudah mencuba. Syarikat pengurusan juga membuka ruang dan laluan untuk saya menempa nama di sana,” katanya.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chio Min, Kulim, Kedah ini pada mulanya sedikit terkilan apabila pada saat akhir namanya digugurkan untuk menyertai sebuah program realiti di Beijing kerana dia memakai tudung, baru-baru ini.

Namun, dia tidak berputus asa dan perasaan kecewa terubat apabila dipilih mewakili Malaysia ke Festival Lagu-Lagu Cina di Nanning, Selasa depan.

MASYA juga bakal tampil dengan single lagu Mandarin tidak lama lagi.
MASYA juga bakal tampil dengan single lagu Mandarin tidak lama lagi.

“Saya memang sedih apabila mendapat tahu mereka menggugurkan nama pada saat akhir. Ini kerana saya sudah membuat persiapan dan berlatih untuk program berkenaan,” katanya yang akan membawakan lagu berjudul Oh Wau Bulan.

Masya berharap selepas membuat persembahan pada festival itu nanti peluang lebih cerah untuk terus dikenali di China.

Selain menyasarkan pasaran China, Masya juga bakal tampil dengan single lagu Mandarin tidak lama lagi.

Dia juga bakal sibuk mengadakan konsert jelajah bersama seorang penyanyi tempatan iaitu Jeryl Lee di Genting Highlands pada Oktober dan Disember ini.

“Alhamdulillah saya gembira apabila syarikat pengurusan kini sibuk untuk memfokuskan karier saya di China. Satu persatu projek dilaksanakan dan sasaran saya selewat-lewatnya tahun depan untuk mula fokus di sana.

“Perjalanan seni di sini masih berjalan seperti biasa dan bukan kerana kecewa malah saya gembira karier seni berjalan dengan baik setakat ini. Selain bakal tampil single Mandarin saya juga sedang mencari material untuk single lagu Melayu yang baharu,” katanya.

Terharu terima anugerah pada Asia Awards 2019

Menerima anugerah berprestij pada usia muda pastinya menjadi idaman semua orang, siapa sangka rezeki berpihak kepada juara Ceria Popstar 2014 ini yang menerima anugerah pada malam Asia Awards 2019 anjuran Herald Global, baru-baru ini.

Berkongsi perkara berkenaan, Masya pada awalnya tidak percaya anugerah ‘Most Admired Leaders’ atau Pemimpin Paling Dikagumi bagi kategori hiburan diberikan kepadanya.

“Penganjur menghantar e-mel kepada saya menyatakan bakal menerima anugerah itu. Selain saya, anugerah ini juga diterima Sufian Suhaimi. Memang saya tidak tahu apakah kriteria yang mereka mahukan untuk menerima anugerah ini.

“Saya anggap ia penghargaan atas usaha dan kerja keras sejak remaja dan mungkin juga kerana berani mencuba pasaran seni negara lain,” katanya.

MENERIMA anugerah ‘Most Admired Leaders’ pada malam Asia Awards 2019.
MENERIMA anugerah ‘Most Admired Leaders’ pada malam Asia Awards 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 5:25 AM