Shamsul Munir Safini


LELAKI bergelar Datuk dan pegawai di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang antara enam individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown, hari ini, atas 32 pertuduhan membabitkan aktiviti penjualan MyKad dan dokumen pengenalan sah kepada warga asing.

Semua mereka yang berusia 34 hingga 66 tahun berkenaan didakwa berasingan mengikut Seksyen 4(5) Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012, Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 466 Kanun Keseksaan.

Dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Salha Hamzah dan Mazdi Abdul Hamid, tiada pengakuan direkodkan dan tiada jaminan dibenarkan terhadap semua tertuduh.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh pertama, Mohd Faizul Arifin, 34, berdepan 11 pertuduhan masing-masing dua pertuduhan mengikut Seksyen 26E ATIPSOM, empat pertuduhan mengikut Seksyen 466 Kanun Keseksaan dan lima di bawah Peraturan 25 (1) (i) Peraturan Pendaftaran Negara 1990

Lima lagi individu berkenaan yang juga rakyat tempatan berdepan tiga seksyen yang sama.

Terdahulu, anak lelaki seorang daripada tertuduh yang bergelar Datuk menangis sambil memegang tangan bapanya yang berdepan lima pertuduhan sejurus prosiding selesai.

Semua tertuduh tiba di Mahkamah Sesyen Georgetown jam 9 pagi, hari ini diiringi beberapa pegawai polis lengkap bersenjata.

Muka depan Harian Metro hari ini, mendedahkan kejayaan polis dan beberapa jabatan kerajaan lain membongkar sindiket penjualan dokumen pengenalan diri MyKad kepada warga China di negeri ini yang didalangi seorang pegawai JPN negeri.

Kes itu terbongkar selepas pegawai Jabatan Imigresen Malaysia membuat laporan polis berikutan permohonan seorang wanita warga asing yang cuba memohon pasport negara ini dengan mengemukakan MyKad sah namun tidak boleh berkomunikasi dalam Bahasa Melayu, Mei lalu.

Polis melalui operasi khas berjaya membongkar sindiket berkenaan yang dikatakan mengaut keuntungan antara RM100,000 hingga RM600,000 hasil jualan MyKad sah berkenaan kepada warga asing dan menahan 20 individu, sehingga hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 2:35 PM