Muhamad Al-Qayyum
Muhamad Al-Qayyum
Abnor Hamizam Abd Manap


“ADIK disenangi keluarga dan semua yang mengenalinya,” kata Luqmannul Hakim Saifuddin, 24, abang kepada Muhamad Al-Qayyum, 19, yang meninggal dunia di biliknya di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), semalam.

Muhamad Al-Qayyum meninggal dunia ketika berehat di biliknya selepas menunaikan solat Asar.

Bekas pelajar Maahad Tahfiz Al-Hidayah, Bentong, Pahang itu pernah menjadi tular di media sosial tahun lalu, berikutan mampu khatam al-Quran walaupun menghidap penyakit sawan.

Luqmannul Hakim berkata, arwah adiknya yang juga anak keempat daripada lima beradik itu baru menyambung pengajian dalam jurusan Asasi Pengajian Islam di KUIS, bulan lalu.

“Saya diberitahu rakan Muhamad Al-Qayyum, semalam arwah baik saja dan dia berehat di biliknya selepas solat Asar.

“Namun, ketika dikejutkan rakan untuk menunaikan solat Maghrib, badan adik sudah kebiruan dipercayai akibat diserang penyakit sawan.

“Rakannya kemudian memaklumkan perkara itu kepada pihak pengurusan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Gambar kenangan Muhamad Al-Qayyum (dua dari kiri) bersama adik-beradik dan ibunya, Rozalina (tiga dari kiri).
Gambar kenangan Muhamad Al-Qayyum (dua dari kiri) bersama adik-beradik dan ibunya, Rozalina (tiga dari kiri).

Menurutnya, adiknya itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi sebelum jenazah dibawa ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat.

“Saya terkejut apabila dihubungi oleh ahli keluarga pada 8.15 malam tadi memaklumkan adik sudah meninggal dunia. Saya terus bergegas ke KUIS untuk melihat keadaannya.

“Ibu (Rozalina Ayob, 50) bersama adik bongsu baru melawat Muhamad Al-Qayyum di kolej berkenaan pada Rabu, iaitu sehari sebelum dia ‘meninggalkan’ kami semua.

“Kali terakhir saya bertemu arwah ketika kami pulang bercuti di rumah datuk di FELDA Palong 15 bagi menyambut Aidilfitri, Jun lalu,” kata penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.

Luqmannul Hakim berkata, meskipun keluarga masih terkejut dengan kehilangan arwah, namun mereka reda dan menerima ketentuan Allah SWT.

Katanya, arwah seorang adik yang ceria, ringan tulang dan selain mendengar kata orang tua, termasuk tidak membantah apabila dihantar belajar di Maahad Tahfiz pada 2013.

“Pemergiannya satu kehilangan besar buat keluarga apatah lagi kami kagum dengan semangat arwah membuktikan penyakit dialaminya itu bukan alasan untuk tidak khatam al-Quran.

“Arwah juga gembira apabila dapat menyambung pengajian di KUIS,” katanya.

Luqmannul Hakim berkata, jenazah dibawa pulang selepas selesai bedah siasat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Palong 15 di Jempol, petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 3:25 PM