SUSPEK kes tipu ditahan selepas keluar dari panggung wayang.
SUSPEK kes tipu ditahan selepas keluar dari panggung wayang.
Agensi

POLIS di timur China dipuji selepas menunggu dengan sabar selama tiga jam hingga tamat filem Avengers: Endgame sebelum menangkap seorang suspek kes tipu.

Lelaki hanya dikenali sebagai Liu itu disyaki menggunakan taktik Romeo untuk menipu ratusan ribu yuan daripada beberapa wanita dan pada Rabu minggu lalu dikesan berada di panggung wayang bersama seorang rakan perempuan di Hangzhou, wilayah Zhejiang, lapor Channel 6 dipetik South China Morning Post.

Polis bagaimanapun tidak terus menyerbu panggung itu, sebaliknya menunggu dengan sabar di luar hingga filem tamat untuk mengelak mengganggu 100 penonton lain.

Liu ditahan sebaik keluar dari panggung berkenaan jam 3 pagi.

Kesabaran polis Hangzhou itu mendapat pujian pengguna Weibo, malah ramai membandingkannya dengan kes lain di Shanghai pada hari sama, apabila seorang doktor dikasari dan digari hanya kerana bertengkar dengan suami pesakit yang enggan menunggu giliran.

Menurut media, seorang wanita bernama Wang dilaporkan meminjamkan Liu lebih 300,000 yuan (RM184,000) selepas dia meminta wang untuk memulakan perniagaan. Wang mengesyaki sesuatu apabila menyedari Liu mempunyai teman wanita lain, kata polis.

China negara pertama menayangkan filem berkenaan yang dibintangi Robert Downey Jr, Chris Hemsworth dan Brie Larson.

Filem itu memecah rekod box office dengan meraih lebih AS$1.2 bilion (RM5 bilion) di seluruh dunia, malah di China saja memperoleh lebih 104 juta yuan (RM64 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 6:30 AM