KERJA pembersihan giat dilakukan di kawasan terjejas pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim. -Foto NSTP
KERJA pembersihan giat dilakukan di kawasan terjejas pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim. -Foto NSTP
Hairulazim MahmudIbrahim IsaMary Victoria DassIzlaily Nurul Ain HusseinRizanizam Abdul HamidHafidzul Hilmi Mohd Noor dan Mohd Azam Shah Yaacob dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

KUALA LUMPUR: Tiada pengisytiharan darurat bencana di kawasan terjejas sisa toksik di Pasir Gudang, Johor walaupun setakat ini sudah lebih 1,000 orang awam di kawasan itu terjejas kesihatan sejak 7 Mac lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin ketika menggulung usul pengisytiharan darurat bencana yang dibawa Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) pada sesi khas Sidang Dewan Rakyat di sini, semalam berkata:

“Tiada permintaan daripada kerajaan negeri untuk mengisytiharkan darurat bencana sedangkan mengikut Akta Majlis Keselamatan Dalam Negeri (MKN) 2016, permintaan mesti datang daripada kerajaan negeri.

“Tahap bencana pula adalah tahap dua iaitu di peringkat negeri di mana tahap pertama ialah daerah diikuti negeri dan nasional.

“Semalam (kelmarin), kerajaan negeri sudah memutuskan mereka berupaya untuk mengawal keadaan,” kata Mohamed Hanipa.

SEORANG mangsa    terhidu gas kimia berbahaya  dibawa ke HSI untuk mendapatakan rawatan di  Dewan Komuniti Taman Pasir Putih.
SEORANG mangsa terhidu gas kimia berbahaya dibawa ke HSI untuk mendapatakan rawatan di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih.

Beliau berkata, walaupun kerajaan tidak mengisytiharkan darurat di kawasan itu, usaha pengurusan dan mitigasi yang dijalankan di lokasi itu kini melibatkan kerjasama pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan seolah-olah dalam keadaan darurat.

Terdahulu, lima menteri dan timbalan menteri membahaskan usul berkenaan iaitu Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Selain itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub serta Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis turut membahaskan usul berkenaan.

Penyokong kerajaan pula ialah Steven Choong (PH-Tebrau) manakala wakil pembangkang ialah Datuk Seri Ahmad Mazlan (BN-Pontian) dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian).

Mohamed Hanipa berkata, Kerajaan Pusat juga sudah meluluskan bantuan sebanyak RM8 juta untuk kerja-kerja pembersihan Sungai Kim Kim.

Katanya, selain itu, aset-aset juga sudah berada di kawasan terjejas seolah-olah seperti darurat diisytiharkan.

Dalam pada itu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohammad Arif Md Yusof berkata, tiada undian akan dilakukan mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1).

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 8:00 AM