Muhammad Shah Rukh Khan (kiri) dan adiknya, Mahbub Salman Khan. FOTO Rasul Azli Samad
Muhammad Shah Rukh Khan (kiri) dan adiknya, Mahbub Salman Khan. FOTO Rasul Azli Samad
Mohd Hilmie Hussin


“ASAL ada filem terbaharu dari India sahaja, mesti kena sakat dengan kawan, ada tanya tak pergi berlakon ke, segan dibuatnya," demikian menurut Shah Rukh Khan atau nama sebenar Muhammad Shah Rukh Khan Gazali Chan, 19, mengenai ‘kehidupan glamornya' di sekolah mahupun di rumah.

Usikan dan ejekan itu perkara biasa bagi remaja yang berasal dari Melaka itu dan kini dapat menerima usikan rakan-rakan.

“Dari kecil diusik dan kini saya sudah biasa. Kalau dulu saya segan apabila orang panggil nama saya ‘Shah Rukh Khan' terutamanya di tempat awam, saya diam dan tidak menyahut.

“Tapi itu memang nama saya, nama apa lagi kawan-kawan nak panggil, jadi lama-kelamaan biasa... buat muka tebal," kata anak muda yang bakal menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ini.

Shah Rukh sempat berseloroh yang dia tidak glamor bersendirian kerana adiknya Salman Khan turut menempuh fasa yang sama seperti dia lalui sejak memasuki alam sekolah rendah hingga ke menengah.

Menurutnya, Salman atau nama sebenarnya Mahbub Salman Khan, 18, lebih pemalu dan pendiam berbandingnya.

Tambah Salman, ketika dia membesar barulah menyedari namanya sama dengan bintang Bollywood iaitu hero romantik kesukaan ramai Shah Rukh Khan, mula selesa dengan panggilan itu.

Bagi Salman Khan pula, dia sangat malu tambahan pula bintang Bollywood atau Salman Khan sebenar berbadan sasa sedangkan dia kurus kering.

“Perasaan saya alami sama seperti abang saya tapi yang seronoknya, orang suka berkawan dengan kami sekali gus kami mudah mendapat kawan," kata Salman Khan.

Kedua-dua mereka anak kacukan Cina dan Pakistan ini seperti individu lain, mempunyai cita-cita besar.

Shah Rukh Khan awalnya bercita-cita menjadi doktor namun kini memasang impian untuk menjadi pakar dalam bidang berkaitan biologi, manakala Salman Khan pernah bercita-cita menjadi pegawai polis dan bintang bola sepak.

Bapa mereka Gazali Chan Abdullah, 59, seorang saudara baharu yang berkerja sebagai pengawal keselamatan berkata, hasil perkahwinan dengan Sharifah Abdul Sathee, 58, wanita berdarah Pakistan, mereka dikurniakan dengan dua anak lelaki.

“Nama anak-anak ni mak dia yang pilih, kerana mahu dua beradik ini menjadi orang terkenal kelak," kata Gazali.

Dia berkata, meskipun kehidupan mereka tidak mewah namun dia gembira melihat dua anaknya mempunyai keazaman untuk berjaya.

Gazali Chan yang memeluk Islam ketika berusia 12 tahun, kerana mengikut jejak ibunya satu masa dahulu berkata, mungkin kebahagiaan yang dikecapinya kini berkat yang diberikan Allah, kerana seluruh keluarganya memeluk Islam kecuali bapanya yang kekal dalam agama asal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 2:52 PM