Skuad Khas Harian Metro


PEMBELIAN baju kalis api untuk anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi menggantikan pakaian berkenaan yang usang dan rosak akan disegerakan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin berkata, pada masa ini, JBPM dalam proses pembelian seperti diluluskan Kementerian Kewangan.

“Setelah perolehan (pembelian) selesai, pengagihan (baju kalis api) ke negeri-negeri akan dibuat segera,” katanya dalam kenyataan kepada Harian Metro.

Menjawab soalan wartawan mengenai perkongsian antara tiga hingga empat anggota bomba bagi sepasang baju kalis api, Zuraida berkata, kementerian akan membuat semakan terperinci supaya penggunaannya mematuhi Peraturan Keselamatan dan Pekerjaan.

Harian Metro hari ini melaporkan, sembilan Balai Bomba dan Penyelamat di seluruh negara dianggap berdepan masalah kekurangan baju kalis api yang kritikal berikutan tiada pembelian baharu dibuat sejak 2017.

Ini menyebabkan anggota di balai berkenaan dikatakan terpaksa menggunakan baju kalis api ‘usang’ yang koyak atau berkongsi baju sama dengan rakan lain yang tidak bertugas jika berlaku kebakaran.

Lebih memburukkan keadaan, pembelian 6,000 baju kalis api bernilai RM13.5 juta pada 2016 lalu dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas kontraktor dilantik JBPM membekalkan pakaian yang dihasilkan daripada plastik yang merisikokan nyawa penggunanya walaupun ia bernilai RM2,400 hingga RM2,500 sepasang.

Dalam perkembangan sama, Zuraida berkata, pihaknya bersetuju dengan cadangan pakar supaya setiap anggota disediakan dua pasang baju kalis api.

“Cadangan ini baik, walau bagaimanapun kementerian perlu melihat dan mengkaji kekerapan penggunaan berdasarkan statistik operasi.

“Pada masa sama, kementerian juga perlu akur kemampuan kerajaan dalam menyediakan peruntukan bagi perolehan terbabit,” katanya.

Katanya, isu berkaitan monopoli pihak tertentu di kementerian sehingga tiada perolehan baru bagi baju kalis api tidak timbul kerana semua perolehan dilakukan secara tender terbuka.

“Pembatalan tender bagi tahun 2017 dan 2018 adalah disebabkan penender tidak mematuhi spesifikasi teknikal ditetapkan JBPM,” katanya.

Berita berkaitan

'Sekatan' ganti perisai lusuh

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 10:09 PM