Joe Flizzow
Joe Flizzow
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi rap terkenal, Joe Flizzow memberitahu dia tidak mengundang Malique dalam berkongsi perjalanan kariernya bersama Too Phat menerusi dokumentari berjudul This Is Johan.

Joe berkata, sebagai rakan dia harus menghormati keputusan bekas duonya itu yang memilih untuk tidak tampil di depan khalayak.

"Tidak, sebab saya sudah tahu jawapannya.

"Saya hormat keputusan dia (Malique) yang tidak mahu lagi 'limelight', jadi saya kena hormati permintaannya itu.

"Lagipun dokumentari ini fasal 'This is Johan', bukan Malique. Walau bagaimanapun dia tetap sebahagian dari cerita saya, itu sudah tentu," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media dokumentari This Is Johan di Menara Maxis, di sini, semalam.

Menurut Johan, walaupun sudah lama tidak berhubung, dia mengaku persahabatannya dengan Malique tidak akan pernah putus.

"Sejujurnya selepas episod perpisahan saya tak rasa ia beri kesan pada persahabatan kami.

"Kami ini ibarat air dicincang takkan putus. Sekiranya dia berpeluang menonton dokumentari ini, harapnya dia terhibur," katanya.

Ditanya apakah yang membuatkan dia terbuka hati untuk menghasilkan dokumentari This Is Johan, Joe berkata, dia ingin menyaksikan perjalanan hidupnya ketika zaman kecil sehingga sekarang ketika dia masih hidup.

"Saya nak 20 tahun daripada sekarang saya dapat saksikan perjalanan karier saya dalam bidang seni.

"Saya tak nak lagi 30 atau 50 tahun akan datang baru nak buat dokumentari fasal saya. Saya tak nak nanti bila dah tak relevan orang cakap saya syok sendiri.

"Penghasilan dokumentari ini adalah sebahagian daripada kerja dan perjalanan hidup saya yang keluar daripada mulut saya sendiri.

"Jadi naratif itu saya yang tentukan. Kadang-kadang bila kita baca mengenai kisah seseorang ia diceritakan oleh pihak ketiga, tapi dokumentari ini saya sendiri yang hasilkannya," katanya.

Dokumentari This Is Johan bahagian satu dan dua sudah ditayangkan dan boleh ditonton di platform penstriman Viu.

Untuk rekod, Too Phat ditubuhkan pada tahun 1998 dan menjadi antara kumpulan hip hop yang mencipta fenomena pada ketika itu.

Namun pada tahun 2017, Too Phat dan mereka memilih untuk meneruskan kerjaya solo.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 12:12 PM