NOR Sakira menukar minyak enjin kereta di bengkel tempatnya bekerja. FOTO/AHMAD RABIUL ZULKIFLI
NOR Sakira menukar minyak enjin kereta di bengkel tempatnya bekerja. FOTO/AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ahmad Rabiul Zulkifli


KUALA TERENGGANU: “Sampai sekarang segelintir masyarakat masih memandang serong kepada saya kerana terbabit dengan kegiatan lasak sehingga membuat andaian negatif termasuk melabel sebagai minah rempit,” kata Nor Sakira Awee, 21, di Bengkel Maxoil Cawangan Kuala Terengganu di sini, semalam.

Dia yang mempunyai Sijil Kemahiran Automotif Servis itu sebelum ini pernah menjadi perhatian ramai apabila rakaman videonya membaiki brek kereta tular di media sosial hingga menyebabkan ada netizen menggelarnya gadis bengkel serta sanggup meletakkan hantaran setinggi RM20,000 pada 14 Oktober tahun lalu.

Nor Sakira berkata, dia tidak kisah dengan tohmahan masyarakat terhadap minat dan kerjayanya, malah bersyukur rezekinya semakin mencurah termasuk ditawarkan kontrak sebagai duta kecil syarikat minyak pelincir Maxoil cawangan Kuala Terengganu selepas video rakamannya tular.

“Saya ditawarkan sebagai duta kecil Maxoil selama lima tahun selain bekerja sebagai mekanik di bengkel berkenaan.

“Berbaloi apabila dilantik menjadi duta kerana selain dapat bekerja, saya dapat mengumpul wang untuk menjalankan perniagaan bengkel kenderaan selepas ini,” katanya yang tinggal di Kampung Batangan, Marang.

Katanya, ramai menghantar mesej kepadanya di media sosial termasuk di Instagram, Facebook dan WhatsApp untuk berkenalan.

“Saya tidak terganggu kerana menganggap mesej dihantar hanya gurauan dan tidak serius. Biasanya apabila saya tidak melayan, mereka hanya diam.

“Ramai menasihati saya supaya beralih kepada kerjaya lain kerana pekerjaan berkaitan automotif disifatkan kasar dan tidak sesuai dengan wanita.

“Bagaimanapun kerana terlalu minat saya teruskan juga dan bidang ini sebati dengan kehidupan saya sejak mengikuti kursus kemahiran di Universal Centre Education Traning Employment (UNICETE) di Chendering tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, dia berharap wanita yang mempunyai minat sama memberanikan diri menceburi bidang itu kerana ia memberi hasil lumayan jika pandai mengatur strategi.

“Apabila pandai membaik pulih kenderaan berat atau motosikal, kita tidak semestinya menjadi mekanik sepenuh masa kerana pada masa sama boleh menjalankan perniagaan alat ganti kenderaan untuk menambah pendapatan,” katanya.

Harian Metro pada 14 Oktober 2017 pernah melaporkan kisah Nor Sakira yang menjadi tular di media sosial selepas video berdurasi 35 saat memaparkan dia membaiki brek kenderaan mendapat perhatian ramai.

Penuntut UNICETE di Chendering dalam bidang Automotif Servis itu tidak kekok bergelumang minyak hitam setiap hari kerana minat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 7:51 AM