KEADAAN kucing dikurung di dalam sangkar sebelum dibakar untuk dijual. FOTO/AGENSI
KEADAAN kucing dikurung di dalam sangkar sebelum dibakar untuk dijual. FOTO/AGENSI
Agensi

Jakarta: Video menjijikkan menunjukkan haiwan dibelasah kejam sebelum dibakar hidup-hidup secara terbuka di pasar yang menjual kucing serta anjing untuk dimakan.

Rakaman diambil pencinta haiwan di pasar Tomohon di Sulawesi Utara, menunjukkan beberapa kucing ditonggengkan sekumpulan lelaki yang memegang kaki belakang haiwan itu yang dipukul mati menggunakan batang besi, lapor Daily Mail.

Video turut menunjukkan anjing yang dipenuhi kesan luka dan kudis meromok ketakutan dalam sangkar atau melolong ketika diheret keluar untuk dipukul mati disaksikan orang ramai termasuk kanak-kanak.

Haiwan itu kemudian dibakar menggunakan penunu bagas untuk membuang bulunya sebelum dilapah dan dagingnya dijual. Malah ada yang mendakwa haiwan berkenaan masih hidup ketika dibakar.

Anggota kumpulan Dog Meat-Free Indonesia (DMFI) - yang merangkumi gabungan beberapa badan kebajikan haiwan - menggesa kerajaan Indonesia menunaikan janjinya mengharamkan penjualan daging kucing dan anjing.

Lola Webber dari DMFI berkata: “Ia perbuatan paling kejam dilihat kami sepanjang usaha menghentikan perniagaan keji ini. Mereka melakukannya di depan kanak-kanak yang masih kecil.

“Pada hujung rakaman, badan kami turut dipercik darah dan sisa otak haiwan yang dibelasah di depan kami.

Bayangkan betapa mudah untuk pelanggan dan pelancong dijangkiti penyakit termasuk rabis, malah dua anggota kumpulan kami jatuh sakit selepas lawatan berkenaan.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 7:08 PM