ATAN menunjukkan sotong yang dicandat. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
ATAN menunjukkan sotong yang dicandat. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: “Musim sotong pada tahun ini agak pelik kerana sehingga Ogos, sotong masih banyak dan mampu dinaikkan sehingga 100 kilogram (kg),” kata Abdillah Abd Rashid, 55, dari Kampung Seberang Bukit Tumbuh ketika ditemui, kelmarin.

Abdillah yang mempunyai bot kelas A dan menyediakan perkhidmatan bot untuk mencandat sotong menyifatkan musim sotong pada tahun ini berbeza berbanding sebelum ini kerana sehingga September, nelayan masih boleh meraih hasil sotong yang banyak.

“Jika diikutkan, musim sotong bermula Mac hingga Julai saja tetapi pada tahun ini ia berlarutan sehingga September. Biarpun keadaan cuaca yang tidak menentu, nelayan masih boleh meraih hasil tangkapan antara 50 hingga 100 kg sehari.

“Terbaru, saya dan rombongan berjaya memperoleh sotong sebanyak 100 kg pada akhir Ogos dan 50 kg pada minggu berikutnya. Ia memang limpahan rezeki yang tidak diduga,” katanya yang menjalankan aktiviti nelayan itu lebih 30 tahun lalu.

Abdillah berkata, sepanjang dia menjadi nelayan dan aktif menawarkan perkhidmatan menyewa bot untuk mencandat sotong, situasi itu tidak pernah berlaku kerana musim sotong biasanya berakhir pada Julai dan seterusnya nelayan akan beralih kepada aktiviti menangkap ikan seperti biasa.

“Cuaca yang tidak menentu juga biasanya akan menyebabkan jumlah hasil yang diperoleh nelayan yang mencadat akan berkurangan tetapi tidak pada tahun ini.

“Seronok mengikuti aktiviti mencandat pada tahun ini kerana jumlah sotong yang diperoleh setiap kali sesi mencandat akan melebihi sasaran yang diharapkan pelanggan yang menyewa bot,” katanya.

Sementara itu, seorang nelayan yang hanya ingin dikenali sebagai Atan, 25, berkata, dia berasa seronok mengikuti sesi mencandat sotong pada tahun ini kerana berjaya memperoleh jumlah tangkapan yang banyak setiap kali menyertainya.

“Tidak seperti tahun lalu, jumlah sotong yang diperoleh tidak menentu dan tidak sebanyak seperti tahun ini. Justeru, musim sotong pada tahun ini memberi peluang kepada nelayan untuk meraih pendapatan lebih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 9:54 AM