Teoh Pei Ying


SEKURANG-KURANGNYA empat cedera selepas tujuh kereta dilanggar bas Rapid KL yang dalam perjalanan dari Kampung Keramat menghala ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, lapan kenderaan membabitkan sebuah bas dan tujuh kereta terbabit dalam kemalangan pada 8 malam itu.

Beliau berkata, kemalangan itu bermula di hadapan bangunan RISDA di Jalan Ampang dan berakhir di simpang Jalan Ampang atau MRR2.

Katanya, semua mangsa dalam proses membuat laporan polis dan pemandu bas berkenaan berada di Hospital Ampang bagi rawatan lanjut.

“Pemandu bas berkenaan mungkin ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pegawai penyiasat masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu. Masih belum ada sebarang keputusan dibuat mengenai perkara itu (tangkapan),” katanya.

Sementara itu, video sepanjang 1 minit 40 saat mengenai kejadian itu tular malam tadi memaparkan bas berkenaan dipandu dengan laju sambil dikejar penunggang motosikal.

Penunggang motosikal itu memaki hamun pemandu bas berkenaan yang dikatakan melanggar ibunya, sebelum pemandu bas terbabit melarikan diri apabila kenderaan itu tidak bergerak selepas merempuh kenderaan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 11:42 PM