STACY bersama anak angkatnya, Bella.
STACY bersama anak angkatnya, Bella.
Sudirman Mohd Tahir

Selepas 10 tahun berada dalam syarikat pengurusan, bermula dengan Maestro kemudian bertukar nama kepada Astro Talent dan terbaru Rocketfuel Entertainment, Stacy kini mengambil keputusan bergerak sendiri.

Stacy, 28, atau nama sebenarnya, Ummu Shaikhah Stacy Anam berkata, dia memilih tidak menyambung kontrak yang tamat pada 15 Julai lalu.

“Ini keputusan tepat, pada masa sama sudah sampai waktu untuk saya menentukan hala tuju dan merencana kerjaya sendiri.

“Selama 10 tahun berada di bawah pengurusan, saya belajar banyak perkara dan selok-belok dalam industri muzik. Saya berterima kasih kepada syarikat kerana banyak membantu sejak keluar dari Akademi Fantasia musim keenam.

“Keputusan ini datang daripada hati dan bukan atas desakan mana-mana pihak. Malah, syarikat juga tidak memaksa sebaliknya memahami keputusan ini,” katanya.

Stacy yang muncul dengan single berjudul Raja mengakui nekad dengan keputusan dibuat apatah lagi selepas memikirkan masa depan dan kelangsungan kerjaya nyanyiannya.

BERSAMA ahli keluarga.
BERSAMA ahli keluarga.

Menurut Stacy, tindakan menguruskan kerjaya sendiri adalah satu cabaran untuknya selain menyifatkan ia ibarat kehidupan baru.

“Apabila kontrak tamat, saya memang bulat hati tidak mahu sambung. Pada masa sama, syarikat juga tidak memberikan sebarang maklum balas kerana mungkin sudah mengetahui jawapan yang bakal diberikan.

“Bagaimanapun, ini kehidupan baru untuk saya. Diakui saya sangat teruja. Berdasarkan pengalaman yang ada, saya berharap segalanya dipermudahkan.

“Saya juga bertuah apabila mendapat sokongan daripada suami. Apatah

lagi dia terlebih dahulu keluar dari syarikat sama dan memilih bergerak sendiri. Jadi, sedikit sebanyak dia banyak berkongsi,” katanya.

Ditanya sama ada dia menyesal dengan keputusan dibuat, Stacy berkata, tempoh 10 tahun sudah cukup mematangkan dirinya.

“Alhamdulillah, sepanjang tempoh ini saya sudah dapat apa yang diimpikan. Walaupun, perjalanan masih panjang, saya bersyukur dapat mengumpul peminat sendiri.

“Pada masa sama, orang pun kenal saya. Jadi, selepas ini orang boleh terus berhubung dengan saya,” katanya.

Apa yang pasti, langkah baru Stacy yang sebelum ini popular menerusi lagu Not For Sale dapat memberikan ruang untuknya merancang pelbagai strategi baru supaya terus relevan dalam industri muzik tempatan menerusi syarikat bersama suami, Akim Ahmad iaitu Rhyme & Rhythm Music Entertainment.

“Syarikat ini baru ditubuhkan atas inisiatif suami. Jadi, pengalaman yang ada pada kami digunakan untuk menggerakkan syarikat ini.

“Pada masa sama, saya dapat merancang kerjaya sendiri. Apatah lagi, selepas berkahwin dan memiliki anak banyak perkara perlu diambil kira. Pendek kata, memudahkan saya juga membahagikan masa antara keluarga dan kerjaya.

“Buat masa sekarang, syarikat kami mempunyai tiga artis iaitu kumpulan Sevendays, Elica Mentor dan Sharul Kamal. Insya-Allah, kami secara perlahan-lahan saling membantu antara satu sama lain,” katanya.

Menurut Stacy, dia mahu artis di bawah pengurusannya mempunyai bentuk badan yang sihat supaya dapat memastikan kelangsungan seseorang artis itu dalam industri hiburan.

“Saya mahu artis di bawah pengurusan syarikat kami akan sentiasa menjaga badan bagi mengekalkan penampilan menarik.

“Bagi saya senaman dan bentuk badan itu penting bagi menjaga stamina mereka ketika berada di atas pentas ketika menjayakan persembahan.

“Bukan untuk mendera sebaliknya ingin mengajar mereka supaya lebih berdisiplin. Saya juga mahu mereka kelihatan ‘presentable’ dan boleh diterima oleh peminat kerana imej seseorang artis penting dalam industri hiburan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 6:00 AM