ELVINA. FOTO Mahzir Mat Isa
ELVINA. FOTO Mahzir Mat Isa
Syafil Syazwan Jefri

Setiap manusia ada saat bahagia dan ada ketikanya diuji dengan pelbagai dugaan. Begitu juga dengan pelakon Datin Elvina Mohamad yang tidak terlepas berdepan dugaan besar dalam hidup.

Namun, apa yang berlaku tidak mematahkan semangat pelakon berusia 23 tahun ini sebaliknya dia bangkit mempertahankan rumah tangganya.

Mei lalu, industri dikejutkan dengan berita suaminya yang juga ahli perniagaan Datuk Haniff Borhan ditahan polis bagi membantu siasatan dalam satu kes penipuan pelaburan.

“Pada waktu itu, saya kuatkan diri kerana tahu suami tak bersalah. Alhamdulillah, kes itu sudah pun selesai,” katanya.

Elvina mengakui bersyukur kerana sentiasa mendapat sokongan keluarga.

“Keluarga tidak putus memberikan kata-kata semangat kepada saya dan suami. Kami suami isteri saling menyokong antara satu sama lain.

“Saya mengelak membaca komen netizen kerana tidak mahu tahu apa yang mereka fikir dan tulis.

“Lagipun, mereka bukan tahu apa yang sebenarnya berlaku. Mereka anggap suami saya bersalah walhal dia hanya membantu siasatan,” katanya.

Beralih perkembangan terkini, Elvina memaklumkan kandungannya sudah berusia 23 minggu.

“Alhamdulillah. Bayi dalam kandungan sihat. Alahan biasa-biasa saja dan semuanya dalam keadaan baik,” katanya.

Elvina berkata, sejak disahkan hamil dia membataskan aktiviti seninya.

“Saya akan teliti dahulu setiap tawaran lakonan. Kalau komitmennya tak terlalu berat dan mampu lakukan dalam keadaan sekarang, barulah saya terima.

“Suami pun tidak menghalang saya berlakon tetapi dia pesan supaya banyakkan rehat,” katanya.

Elvina juga menyifatkan kehamilan ini rezeki paling besar buat dirinya.

“Alhamdulillah, dalam pada diuji, Allah anugerah kami rezeki hebat ini. Drama lakonan saya, Isteri Untuk Diiktiraf juga mendapat sambutan. Pendek kata di sebalik dugaan itu ada banyak manisnya,” kata Elvina yang dijangka bersalin pada Disember atau awal Januari tahun depan.

Pelakon cantik ini berkata dia akan kembali aktif berlakon selepas selesai tempoh berpantang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 8:57 AM