Nur Aqidah Azizi


PENGASUH dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, hari ini atas pertuduhan membunuh kanak-kanak berusia dua tahun di rumahnya di Taman Tuanku Jaafar, Seremban, bulan lalu.

Asmarani Ghazali, 39, yang memakai pakaian lokap jingga dan bertudung biru menangis sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di depan Majistret Mahyun Yusof.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh kanak-kanak lelaki itu di rumahnya antara 9.30 hingga 10 pagi pada 13 Jun lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Majistret menetapkan 31 Julai ini untuk sebutan semula kes dan penyerahan laporan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Akmal Muhammad Azri manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Hanif Hassan.

Hanif ketika ditemui di luar mahkamah berkata, beliau akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara untuk menggugurkan kes atau menukar kepada pertuduhan yang lebih ringan berdasarkan kejadian yang berlaku.

Dalam kejadian 13 Jun lalu, mangsa yang mengalami kesukaran bernafas dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar di Seremban oleh pengasuh terbabit dan suaminya sebelum kanak-kanak itu meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 10:57 PM