GAMBAR fail menunjukkan barangan yang dirampas dari kediaman ahli keluarga Najib. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR fail menunjukkan barangan yang dirampas dari kediaman ahli keluarga Najib. FOTO Arkib NSTP
Hasbi Sidek


ANGGARAN nilai barang kemas yang dirampas dari premis berkaitan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dikemukakan berdasarkan laporan pakar yang membuat pengiraan dan penilaian.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, perkara itu sudah dijelaskan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh mengenai anggaran barangan dan wang tunai yang dirampas bernilai RM900 juta sehingga RM1.1 bilion.

Beliau berkata, pengiraan dan penilaian dibantu pakar yang dilantik yang mempunyai kemahiran dalam bidang berkenaan.

“Kiraan ini bukan kita buat. Kita panggil pakar bantu kita buat penilaian semua barang di premis berkaitan. Anggaran ini berdasarkan kemahiran mereka dan laporan yang kita kemukakan ini berdasarkan laporan yang kita perolehi.

“Kita ada proses dan prosedur untuk proses pengiraan ini. Pengiraan tidak boleh dilakukan menggunakan kaedah kovensional,” katanya ketika sidang media sejurus Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 13/2018 Sempena Aidilfitri di Dewan Theatrette, Menara 1, Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, Najib dilaporkan mendakwa penilaian barang, terutamanya barang kemas yang dirampas polis di kediaman dikaitkan dengannya adalah subjektif dan tidak realistik.

Ditanya mengenai permintaan Najib yang mahu melihat sendiri barang dirampas, Mohamad Fuzi berkata, pihaknya tiada masalah dengan permintaan itu.

“Jika ada permintaan kita benarkan dan setakat ini tiada permintaan daripada beliau (Najib). Barangan itu ditempatkan di tempat yang dibenarkan Bank Negara Malaysia (BNM), proses itu bagaimanapun akan melalui prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Mohamad Fuzi turut mengalukan mana-mana individu untuk tampil memperjelaskan barang rampasan adalah sebagai hadiah kepada Ahli Parlimen Pekan itu.

“Kita tidak tahu siapa yang beri hadiah, melainkan dia yang datang. Kalau ada orang yang bagi hadiah itu mahu tampil, kita alukan. Setakat ini kita tidak tahu siapa yang memberinya,” katanya.

Berita berkaitan:

Nilai rampasan cecah RM 1.1 bilion

Bijan jenama ikonik antara termahal dunia

Penilaian rampasan tak realistik, kata Najib

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 11:59 AM