Emma nafi cuba memikat Syed Saddiq. FOTO ROSELA ISMAIL
Emma nafi cuba memikat Syed Saddiq. FOTO ROSELA ISMAIL
Najiy Jefri


"SAYA sudah kenal Saddiq sejak dua tahun lalu. Tiada hubungan istimewa antara kami," kata pelakon, Emma Maembong.

Kata kata itu diluahkan pelakon itu menafikan dakwaan pengikutnya di laman Instagram kononnya dia cuba mengambil kesempatan untuk menjalin hubungan dengan wakil Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Emma menjelaskan, dia memuat naik gambar bersama Saddiq hanya sekadar mengucapkan tahniah atas kejayaannya dalam PRU-14, minggu lalu.

"Ramai komen saya cuba pikat Saddiq selepas memuat naik gambar bersamanya beberapa hari lalu.

"Padahal, sebelum ini pun saya pernah bergambar dan berkongsi di laman sosial ketika kami menghadiri majlis pelancaran filem Kimchi Untuk Awak lakonan saya tahun lalu,” katanya.

Menurut Emma, perkenalan mereka bermula apabila dia meninggalkan pesanan di laman sosial Saddiq bagi membuat kejutan kepada pembantu peribadinya.

"Saya minta Saddiq mengirim video ucapan hari jadi, tapi tak sangka dia ajak berjumpa untuk memberikan kejutan.

"Saya cukup mengagumi Saddiq. Sepanjang perkenalan, dia seorang yang sangat merendah diri dan sanggup datang ke majlis hari lahir itu dengan membawa kek,” katanya ditemui pada sidang media Mood Republik Back To Back Galore Festival 2018 semalam.

Sementara itu ditanya mengenai kisah peribadi serta hubungannya dengan Kamal Adli, Emma berkata antara mereka hanya rakan biasa.

“Tiada apa yang boleh saya kongsi mengenai hubungan saya dengan Kamal sebab hubungan kami hanya sebagai kawan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 3:07 PM