CHALEEDA teruja peminat turut sama menyanyi sepanjang showcase di Malaysia baru-baru ini.
CHALEEDA teruja peminat turut sama menyanyi sepanjang showcase di Malaysia baru-baru ini.
Syafil Syazwan Jefri


Pertama kali bertentang mata dengan penyanyi dari Thailand ini, ternyata auranya sangat kuat.

Walaupun baru berusia 17 tahun, dia sudah lama menimba ilmu dalam bidang nyanyian. Mula mencipta nama pada usia 11 tahun, Chaleeda Gilbert antara penyanyi muda paling menyerlah di Asia Tenggara.

Di radio, lagu dendangannya tidak asing lagi terutama bagi pendengar setia karya berbahasa Inggeris.

Baginya, menempa populariti pada usia muda adalah sesuatu yang masih mampu dikawal.

“Saya bermula pada usia 11 tahun dengan menyertai pelbagai pertandingan nyanyian.

“Kemudian, saya pernah menghasilkan satu single bahasa Siam berjudul Ready For Love menampilkan penyanyi rap, 2 Pee.

“Selain muzik, saya juga aktif dalam lakonan dan muncul dengan beberapa drama,” katanya.

Disember lalu, Chaleeda berkesempatan mengadakan showcase di Malaysia dan mengakui terkejut dengan sambutan luar biasa peminat.

“Saya tidak menjangkakan sambutan sehebat ini. Gembira dan teruja melihat peminat turut sama menyanyikan lagu saya sepanjang persembahan,” katanya.

Ditanya sama ada pernah rasa penat kerana bekerja dan menguruskan populariti pada usia yang sangat muda, Chaleeda melihat itu sebagai tanggungjawab.

“Saya yang mahu popular dan dikenali ramai orang. Penat macam mana sekali pun, itu tanggungjawab dan bayaran yang perlu saya lunaskan. Saya terima dan masih okey setakat ini,” katanya.

Chaleeda yang berdarah kacukan Thai-British juga tidak melihat harapan tinggi peminat terhadap dirinya sebagai satu bebanan.

“Semakin meningkat usia, semakin tinggi harapan peminat terhadap saya. Bagaimanapun, ia tidak beri tekanan kepada saya.

“Saya ambil perkara ini secara positif dan buat apa yang termampu,” katanya.

Impian besar

Ditanya mengenai impiannya sebagai anak seni, Chaleeda berkata dia mahu melangkah lebih jauh dan melakukan siri jelajah ke seluruh dunia.

“Kalau boleh saya mahu beraksi di setiap bandar utama. Mungkin sukar direalisasikan tetapi inilah antara impian terbesar saya,” katanya.

Selain itu, Chaleeda turut memasang angan-angan berkolaborasi dengan Yuna dan SonaOne.

“SonaOne penyanyi rap Malaysia yang bagi saya sangat berbakat. Mungkin satu hari nanti saya dapat bekerjasama dengannya dan berkongsi pentas.

“Sebelum ini, saya pernah bekerjasama dengannya menerusi lagu Mind Over Matters kerana dia adalah penulis lagu ini. Sangat mudah bekerja dengannya,” kata Chaleeda.

Selain itu, anak didik Vince Chong ini juga memiliki bakat bermain instrumen muzik dan menulis lagu sendiri.

“Saya mahu mendalami ilmu penulisan lagu. Saya nak lagu yang saya hasilkan, ada identiti tersendiri.

“Kalau orang dengar, mereka tahu itu karya ciptaan saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mei 2018 @ 2:07 AM