BERSAMA anak Dynas, Mohamed Haqaish dan Khyra Khalyssa.
BERSAMA anak Dynas, Mohamed Haqaish dan Khyra Khalyssa.
DYNAS dan Shazrik rapat kembali sejak empat tahun lalu.
DYNAS dan Shazrik rapat kembali sejak empat tahun lalu.
Rudy Imran Shamsudin


Ikan di laut asam di darat, dalam belanga bertemu juga.

Begitulah gambaran kisah cinta pelakon dan pengacara Dynas Mokhtar, 35, dengan suaminya Mohamad Shazrik Che Mohd Din, 36, yang juga ahli perniagaan.

Dynas dan Shazrik sah bergelar suami isteri dalam majlis pernikahan berlangsung di kediaman Dynas di Shah Alam, pagi kelmarin.

Ia diikuti majlis persandingan pada sebelah petang.

Pasangan itu dinikahkan bapa Dynas, Datuk Wan Mokhtar Wan Mohd disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam Khairul Anuar Mulim, keluarga serta teman rapat kedua-dua belah pihak.

Dynas ketika ditemui selepas majlis itu berkata, dia sudah lama mengenali Shazrik dan berkawan sejak berusia belasan tahun.

“Kami kenal ketika di tingkatan lima dan ketika itu dia menuntut di kolej. Namun, persahabatan itu wujud tanpa ada perasaan istimewa di antara kami.

“Dalam tempoh berkawan itu kami tidak pernah putus hubungan walaupun saya sudah berkahwin dan berpisah. Cuma masa membataskan membuatkan ada ketika kami renggang dan tidak selalu bertemu.

“Bagaimanapun, sejak empat tahun ini, kami kembali rapat. Apatah lagi rakan saya juga adalah kawan Shazrik,” katanya.

Menurut Dynas, mungkin tempoh berkawan yang agak lama dan bertambah rapat sejak empat tahun lalu, perasaan cinta itu muncul.

“Sebaik masing-masing meluahkan ada perasaan cinta berbunga di hati, saya memberikan tempoh kepada dia untuk melamar dalam masa enam bulan.

“Bagaimanapun, Shazrik berkata, walaupun kami sudah kenal lama, apabila sudah masuk fasa membabitkan hati dan perasaan seterusnya mahu berumah tangga, sudah tentu dia memerlukan masa.

“Kita perlu kenal bukan saja hati budi masing-masing tetapi juga dengan orang keliling terutama ibu bapa dan anak,” katanya.

Sudah tertulis jodoh dan yakin dengan keputusan dibuat, Dynas dan Shazrik akhirnya mengambil keputusan bernikah selepas melangsungkan pertunangan pada 26 Oktober lalu.

Katanya, perasaan fobia kerana kegagalan perkahwinan pertama tidak pernah timbul dan pada waktu sama kata-kata pakar mata dan motivasi Prof Datuk Dr Muhaya yang seseorang manusia itu seharusnya mencorakkan hidupnya sama ada mahu gembira atau sedih dijadikan kekuatan untuk membuat keputusan besar dalam hidup.

“Dalam hidup manusia ada pasang dan surutnya. Saya juga begitu. Apabila berasa tertekan sikap saya menjadi tidak menentu, tetapi suami cukup sabar. Dia tidak pernah meninggalkan saya atau meminggir diri apabila perangai saya berubah kerana berasa tertekan.

“Suami sentiasa bersikap positif. Kadang-kadang apabila saya memerlukan orang untuk meluahkan perasaan, dia sentiasa ada untuk saya.

“Atas alasan itu juga dan atas apa yang sudah kami lalui saya berasakan Shazrik mampu membimbing dan membahagiakan saya.

“Pada saya, soal bahagia dalam hidup berumah tangga ini bukan terletak pada sebelah pihak saja. Sebaliknya kita perlu bersama-sama berusaha mewujudkan suasana harmoni,” katanya.

Dynas berkata, sepanjang tempoh bercinta itu memang wujud perselisihan faham.

Setiap kali itu juga dia selalu memberitahu kepada suami supaya mencari wanita atau gadis lain dirasakan lebih sesuai.

“Saya berstatus ibu tunggal dengan dua cahaya mata dan ada tanggungjawab besar. Namun setiap kali bercakap begitu, Shazrik akan menasihati saya dan memujuk,” katanya.

Sikap telus, penyayang pikat Shazrik

Shazrik membuat keputusan menikahi Dynas kerana sikapnya yang telus dan sentiasa berpegang kepada realiti.

Shazrik berkata, Dynas seorang yang sangat prihatin bukan saja terhadapnya, tetapi juga kepada orang tua dan keluarganya.

“Dia juga sangat penyayang. Dalam tempoh empat tahun itu saya nampak perkara itu,” katanya.

Bercerita mengenai hubungannya dengan anak Dynas dan bagaimana dia membina hubungan baik sebelum memutuskan menikahi Dynas, Shazrik berkata, dalam tempoh itu juga digunakan untuk merapatkan diri dengan keluarga Dynas.

“Pada peringkat awal, kami akan keluar bersama pada hujung minggu. Kami tidak pernah meminggirkan anak. Lama-kelamaan mereka tidak lagi berasa canggung dan hubungan itu terbina dengan sendirinya,” katanya.

Pasangan ini turut menjelaskan, walaupun baru bernikah mereka tidak merancang dan menerima dengan tangan terbuka andai datang rezeki dikurniakan cahaya mata.

Mereka juga tidak merancang berbulan madu dalam waktu terdekat, cuma apabila semua majlis selesai Dynas akan mengikut suaminya pulang ke kampung halamannya di Terengganu.

“Saya kena berbulan madu dengan anak dulu. Kemungkinan apabila pulang ke Terengganu, saya akan membawa Dynas dan anak bercuti di Pulau Redang. Untuk bulan madu kami berdua jika ada ke sempatan kami akan pergi, tapi mungkin akhir tahun ini kerana setakat ini kami terikat dengan kerja,” katanya.

Pada majlis pernikahan dan persandingan, Dynas yang juga pelakon Syurga Yang Kedua menerima tujuh dulang hantaran termasuk mas kahwin RM1,001, wang hantaran RM30,000 berserta set barangan kemas serba satu daripada pengantin lelaki dan dibalas sembilan dulang termasuk rawatan lasik berjumlah RM13,000 yang dilakukan Selasa lalu.

Apa yang menarik, pembawa dulang hantaran pihak pengantin perempuan terdiri daripada rakan artis iaitu Yasmin Hani, Aisyah Sinclair, Daphne Iking, Atilia dan Sazzy Falak manakala Scha Alyahya pula sebagai pengapit.

Sebaik majlis nikah, pasangan itu mengadakan majlis resepsi di lokasi sama.

Majlis bertandang akan diadakan pada 28 April ini di Damansara, manakala satu lagi majlis resepsi di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 5 Mei.

Ini perkahwinan kedua Dynas selepas bercerai empat tahun lalu. Menerusi perkahwinan terdahulu, Dynas dikurniakan dua anak iaitu Khyra Khalyssa, 8, dan Mohamed Haqaish, 6.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 April 2018 @ 8:44 AM