Ahmad Rabiul Zulkifli


KALAU jodoh tak ke mana. Itu perumpamaan sesuai buat pasangan pekak dan bisu, Artini Zakaria, 33, dan suaminya, Mohd Khairul Amin Mohd, 36, yang akhirnya bersatu di jinjang pelamin selepas lebih 20 tahun terputus hubungan.

Pasangan itu mengenali sejak berusia lapan tahun dan pernah bersekolah bersama-sama di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1 di sini, sebelum terputus hubungan.

Mereka kemudian bertemu semula melalui Persatuan Orang Cacat Pendengaran Terengganu pada awal tahun ini, sebelum berkawan secara serius selama dua bulan sebelum bernikah semalam.

“Saya tidak pernah terfikir akan bertemu jodoh dan berkahwin. Maklumlah, kekurangan diri membuatkan saya tidak berkeyakinan untuk berkahwin.

“Tidak sangka pula saya ditemukan semula dengan suami selepas terpisah lebih 20 tahun dan akhirnya mengambil keputusan berkahwin,” kata Artini yang diterjemahkan kakaknya, Rohaida Zakaria, 41, ketika ditemui pada majlis resepsi perkahwinannya di Kampung Taman Perumahan Telaga Daim, Kuala Nerus, hari ini.

Majlis persandingan pasangan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan isteri, Toh Puan Seri Halina Zakaria, yang meluangkan masa kira-kira sejam di majlis itu.

Lebih menarik, Ahmad Razif rupanya memiliki kebolehan bertutur serba sedikit dalam bahasa isyarat dan tidak kekok berinteraksi dengan pasangan itu.

Artini berkata, dia hanya mengambil masa selama dua bulan untuk mengenali suaminya sebelum nekad menyatakan hasrat untuk berkahwin.

“Saya yakin dengan sikap tanggungjawab suami untuk menjaga saya dan paling penting suami memahami dan boleh menerima saya seadanya.

“Jika bukan dengan suami, saya tidak yakin untuk berkahwin, malah tidak pernah menyimpan angan-angan untuk naik pelamin,” katanya.

Sementara itu, Mohd Khairul berkata, dia pernah bercinta dengan seorang kenalan yang juga OKU sepertinya dari Perak, namun sering dipergunakan wanita itu.

“Pengalaman dipermainkan dan putus cinta membuatkan saya serik untuk mempunyai apa-apa hubungan dengan wanita dan berkahwin.

“Bagaimanapun selepas dipertemukan dengan isteri, saya melihat keikhlasannya sekali gus membuka pintu hati saya,” katanya yang mengambil upah menjahit pakaian.

Katanya, isterinya seorang yang lemah lembut dan dia menepati kriteria wanita pilihan.

Dalam pada itu Rohaida berkata, Artini pernah dipinang tiga lelaki termasuk seorang lelaki normal, namun adiknya itu tidak menerima lamaran kerana pelbagai alasan.

“Tidak mudah untuk membuka hati Artini menerima lamaran kerana Artini bimbang kekurangannya itu tidak boleh diterima pasangan apabila berkahwin.

“Kami sekeluarga memang berharap Artini bertemu jodoh supaya ada yang menjaga dan menjadi temannya,” katanya.

Beliau berkata, seluruh ahli keluarga gembira apabila Artini menyatakan hasrat untuk berkahwin dan sepakat menjayakan majlis itu dengan penuh meriah.

“Lebih mengembirakan apabila Menteri Besar dan isteri meluangkan masa memeriahkan majlis dan meraikan pengantin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Mac 2018 @ 8:23 PM
AHMAD Razif (kiri) cuba berkomunikasi dengan Mohd Khairul dan Artini. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
AHMAD Razif (kiri) cuba berkomunikasi dengan Mohd Khairul dan Artini. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli