Watie dan Joey. FOTO Saifullizan Tamadi
Watie dan Joey. FOTO Saifullizan Tamadi
Ramlah Zainal


“ISTERI saya teraniaya oleh kawan baiknya sendiri. Sebagai suami, saya akan berada di belakangnya dan sentiasa di sisinya ketika susah dan senang," kata penyanyi dan pelakon Zulkifli Daud atau Joey, 39.

Menurut suami kepada penyanyi dan pelakon Watie Sadali (Elite), 41, itu, dia juga menyokong keputusan isterinya untuk membuka semula kes tuntutan saman membabitkan Hana.

"Watie sudah membuat permohonan untuk membuka semula kes itu dan pendaftaran kes sudah dibuat di Mahkamah Selayang baru-baru ini.

"Ia membabitkan kadar bayaran yang sudah diputuskan pihak mahkamah sebelum ini.

"Alhamdulillah, ada peguam yang sanggup membantu kami secara sukarela dalam kes ini," katanya.

Joey ditemui pada program Fit Hasil anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri yang berlangsung di Akademi Percukaian Negara di Bandar Baru Bangi, di sini, semalam.

Mengulas mengenai kadar bayaran itu, kata Joey, terus terang, isterinya tidak mampu untuk membuat pembayaran seperti ditetapkan itu.

"Maklumlah, sebagai artis, kami tidak ada pendapatan tetap dan ia juga menyukarkan isteri untuk membuat pembayaran mengikut kadar ditetapkan pihak mahkamah itu," katanya.

Bagaimanapun, kata Joey, pihaknya sudah berusaha untuk menyelesaikan kes itu secara baik dengan Hana sebelum ini.

"Saya hanya serahkan kepada Allah S.W.T siapa yang betul dan salah dalam kes ini.

"Saya percaya ramai yang tahu cerita sebenar. Kami sudah berusaha untuk selesaikan kes ini cara baik tapi pihak sebelah sana yang tidak boleh terima," katanya.

Watie diperintah Mahkamah Sesyen Selayang untuk membayar sejumlah RM112,000 pada Oktober tahun lalu selepas Hana memenangi kes terbabit.

Hana atau Norhanasafiza Mat Adnan, 40, memenangi saman membabitkan Watie berhubung kegagalannya menyelesaikan bayaran pinjaman bank yang menggunakan namanya untuk membeli Toyota Wish pada 10 Mac 2015.

Mahkamah juga memerintahkan Watie untuk membuat bayaran permulaan sebanyak RM99,500 sebelum atau pada 30 November tahun lalu dan baki sebanyak RM2,500 sebulan bermula Januari sehingga Mei 2018 perlu dibayar secara berperingkat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2018 @ 12:56 PM