BUKAN risau terpalit imej negatif tapi anggap status itu terlalu tinggi.
BUKAN risau terpalit imej negatif tapi anggap status itu terlalu tinggi.
Najiy Jefri


Pembabitan Nelydia Senrose dalam bidang lakonan boleh dikatakan agak lama.

Bermula pada usia 13 tahun, dia atau nama penuhnya Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen, memainkan peranan sebagai Melissa dalam popular Spa Q.

Sejak itu nama Nelydia, 24, meledak dan menjadi pilihan penerbit serta muncul dalam beberapa drama antaranya Datin Wannabe, Setia Hujung Nyawa dan Bukan Kerana Aku Tak Cinta.

Impak populariti yang diraih gadis kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang ini membuatkan ramai beranggapan dia pelakon gred A dan berstatus ‘diva’. Nelydia bagaimanapun menepis gelaran itu kerana berasakan dirinya belum layak.

“Ada yang menganggap diva itu 100 peratus negatif. Ada juga yang cakap diva itu seperti satu standard atau kelas tertinggi artis.

“Namun, pada pandangan saya gelaran diva harus diberikan kepada individu yang tinggi percapaiannya seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Terus terang saya belum layak digelar artis yang ada gred atau ‘diva’ kerana perjalanan saya masih jauh dalam bidang ini. Malah saya juga masih muda,” katanya.

Tambah Nelydia, dia bersyukur dan berterima kasih apabila ada pihak memuji bakat lakonannya.

“Saya hargai setiap komen yang diberikan peminat. Saya juga mengambil serius setiap kritikan bagi memperbaiki kelemahan diri.

“Bagaimanapun saya sedar banyak lagi karakter yang perlu dicuba untuk buktikan bakat. Justeru, saya selalu membaca skrip dan jalan cerita sesebuah naskhah sebelum memulakan penggambaran,” katanya.

Ditanya mengenai lambakan pelakon baru yang mewarnai industri hiburan tanah air, Nelydia berkata, dia menganggap ia perkara positif yang harus disokong semua pihak.

“Jika dulu pelakon perlu bekerja keras untuk membuktikan bakat mereka, kini banyak platform boleh digunakan untuk menaikkan nama.

“Justeru, saya harap mereka tidak mengambil mudah setiap peluang yang diberikan, sebaliknya sentiasa belajar karakter yang ingin dilakukan.

“Jangan sia-siakan peluang yang diberikan kerana dulu pelakon baru tidak mudah ditawarkan watak heroin,” katanya.

Nelydia berkata, selepas kehadirannya disedari peminat, dia pernah ditawarkan watak utama namun menolak kerana belum bersedia.

“Saya ambil masa untuk pegang watak utama kerana takut menghampakan produser dan penonton.

“Bagi saya, ditawarkan watak heroin bukan bermakna kita hebat tetapi bagaimana kita mahu bawakan cerita itu dengan baik. Saya selalu titik beratkan pelbagai aspek.

“Jadi kepada pelakon baru hargailah setiap peluang yang diberi dan sentiasa bersedia menggalas karakter yang mampu mencabar diri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2018 @ 4:24 AM