NIENA Baharun. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
NIENA Baharun. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Najiy Jefri


Walaupun sudah mendirikan rumah tangga, ia tidak bermakna perjalanan seni seseorang itu perlu berakhir.

Bagi pelakon yang dikenali menerusi drama Sayangku Kapten Mukhriz, Niena Baharun, 25, dia beruntung kerana suami tidak menghalangnya meneruskan kerjaya sebagai pelakon.

Bagaimanapun, buat masa ini Niena tidak mempunyai sebarang perancangan mengenai kerjayanya itu selepas mendirikan rumah tangga pada 1 Februari lalu.

“Kalau ikutkan, suami saya menjalankan perniagaan. Jika boleh saya memang mahu terus bekerja kerana sayang nak tinggalkan bidang lakonan.

“Bagaimanapun, perkara itu perlu dipertimbangkan. Kalau lokasi penggambaran jauh, suami mungkin tidak izinkan. Kalau setakat di Kuala Lumpur tidak menjadi masalah,” katanya yang kini fokus terhadap tanggungjawabnya sebagai isteri.

Ditanya mengenai tindakannya merahsiakan hari pernikahan dengan jejaka pilihan hati, Aliff Firdaus Abdul Hadi, Niena berkata, dia bukan sengaja mahu merahsiakannya, tetapi atas permintaan suami tidak menghebahkannya.

NIENA Baharun. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
NIENA Baharun. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam

“Sebenarnya, keluarga suami sudah merisik kira-kira setahun lalu. Memang kalau boleh, dia enggan menghebahkan perkara ini (pernikahan) kepada umum. Lagipun, segala persiapan dilakukan dalam masa singkat kerana keputusan dibuat pada saat akhir. Kami pun tidak bertunang.

“Sepatutnya, majlis pernikahan berlangsung tahun lalu, tetapi disebabkan saya berdepan kekangan masa bekerja, jadi perkara itu tertangguh. Ikutkan memang keluarga minta percepatkan majlis,” katanya yang bakal mengadakan majlis persandingan, Sabtu ini.

Bercerita mengenai perkenalannya dengan suami, Niena berkata, mereka mula mengenali di antara satu sama lain kira-kira enam tahun lalu menerusi aplikasi Blackberry Messenger (BBM).

“Kami sudah berkawan selama enam tahun. Pada mulanya, dia adalah kenalan saya di BBM, tetapi tidak pernah berjumpa. Kemudian selepas pertemuan dengannya, hubungan kami kekal hingga kini,” katanya.

Buat masa ini, dia dan suami yang juga ahli perniagaan tidak berkesempatan berbulan madu kerana suaminya terikat dengan kerja.

“Selepas bernikah tempoh hari pun dia sudah kembali bekerja. Jadi, tak terfikir untuk berbulan madu buat masa ini. Cuma, insya-Allah jika diberi keizinan kami merancang berbulan madu di Makkah. Kalau boleh dapat mengerjakan ibadah haji sekali lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 4:55 AM