Farah Suhaidah Othman


ANGGOTA polis berpangkat Lans Koperal yang ditemui mati dengan kesan tembakan berhampiran kuarters Balai Polis Pekan Baru, Ipoh, Rabu lalu, dipercayai berpunca akibat masalah peribadi.

Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata, hasil bedah siasat terhadap mayat mendiang S Pritviraj, 29, polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut.

Katanya, siasatan lanjut serta hasil keterangan turut mendapati tiada unsur jenayah yang dilakukan terhadap mangsa.

“Kita percaya ia perbuatan bunuh diri, namun kita masih menunggu laporan daripada Jabatan Kimia.

“Apakah sebab bunuh diri, kita masih menyiasat, namun lebih menjurus dengan isu peribadi dan bukan disebabkan oleh tekanan kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Batu Gajah, hari ini.

Mayat anggota yang belum berkahwin itu ditemui dalam keadaan tertiarap di tepi longkang bersebelahan kediaman anggota bujang dalam kawasan balai polis berkenaan.

Polis mengesahkan mayatnya ditemui dalam keadaan berpakaian seragam polis dengan senjata jenis MP5 berada bersebelahannya oleh seorang pekerja pembersihan ketika hendak membersihkan kawasan belakang berek balai polis berkenaan.

Siasatan awal mempercayai kejadian berlaku jam 6.15 pagi dengan anggota polis itu ditemui mati dengan kesan satu tembakan yang menembusi kepalanya.

Hasnan berkata, senjata api yang ditemui berhampiran mangsa didaftarkan di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, dalam majlis berkenaan, bekas Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Batu Gajah berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Asisten Komisioner Ahmad Tarmizi Shaari yang bersara wajib mulai Isnin ini.

Berita berkaitan

[UPDATE] Telefon ibu dua hari sekali

Mendiang berpakaian seragam, sub mesingan di sisi

Polis maut, ada kesan tembakan di kepala

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 11:09 AM