TAWIL, Zatiton Sameon membacakan doa setiba mereka di Madinah dan gambar Zaiton Sameon bersama Tab Hamzah serta gambar berkumpulan sebelum berangkat ke Makkah untuk menunaikan umrah. FOTO Adam Salleh
TAWIL, Zatiton Sameon membacakan doa setiba mereka di Madinah dan gambar Zaiton Sameon bersama Tab Hamzah serta gambar berkumpulan sebelum berangkat ke Makkah untuk menunaikan umrah. FOTO Adam Salleh
Adam Salleh


BAGAIKAN satu skrip nan indah apabila penggiat seni ke Makkah menunaikan umrah manakala juruterbang penerbangan dan anak kapal pula ditakdirkan terdiri di kalangan anak seni juga.

Itulah berlaku dalam penerbangan MH2808 yang membawa 23 penggiat seni dari KLIA yang selamat tiba di Madinah pada 5.12 petang waktu tempatan (10.15 malam waktu Malaysia).

Pesawat yang disewa khas oleh ATS Travel & Tour itu membawa 400 jemaah termasuk 23 penggiat seni yang ditaja Yayasan Perdana Ummah (YPU).

Menariknya pesawat dipandu Kapten Baharuddin Mat Yassin dan Kapten Arjunaidi Jamil iaitu anak kepada sutradara tersohor tanah air, Datuk Jamil Sulung dan Datuk Rosnani Jamil.

Seorang daripada anak kapalnya, Taib Hamzah adalah bekas Pegawai Perhubungan Awam SCS Records yang pernah mengendalikan artis seperti Shidee, Wann, Zamree dan Kumpulan Iklim.

Pelawak Tawil, 65, terharu kerana bukan saja berpeluang mengerjakan umrah tetapi buat julung kali keluar negara mendapat tempat duduk kelas perniagaan.

“Saya pernah ke Festival Filem Asia Pasifik di Denpasar, Indonesia pada 1981 kerana filem lakonan saya, Prebet Lapok bertanding tapi cuma duduk di kelas ekonomi.

“Berkat umrah ini, selama kira-kira lapan jam dalam penerbangan, lutut saya ok walhal jika memandu baru dua jam lutut dah mula sakit,” katanya.

Tawil atau nama sebenarnya Abu Bakar Ahmad berterima kasih pada kerajaan kerana memberi peluang penggiat seni untuk menunaikan umrah.

Bagi Taib Hamzah pula, sesudah sekian lama meninggalkan dunia hiburan, tidak sangka dapat bertemu kembali rakan artis khususnya Shima, Zaiton Sameon dan Sahara Yaacob serta melayan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2018 @ 10:33 AM