Nabihah Kamal


“Perkataan pertamanya Allah dan kini boleh ke surau sendiri untuk solat selain mengimpikan untuk menjadi bilal atau siak di masjid,” kata Wan Dayang Zelanah Awang Yusuf, 53, ibu kepada kanak-kanak autisme, Wan Azmeen Aiman Wan Awat, 12.

Wan Azmeen Aiman yang mesra disapa Aiman menjadi perhatian netizen selepas Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad memuat naik status mengenai kanak-kanak itu di Facebook (FB)nya 22 Januari lalu.

Antara yang dimuat naik adalah pautan statusnya tahun lalu iaitu tulisan tangan kanak-kanak itu, 'Esok Aiman nak sunat dan tinggalkan zaman kanak-kanak. Selepas bersunat Aiman akan jadi remaja. Ustaz Datuk, Aiman harap dapat doakan Aiman jadi remaja Muslim yang soleh, ada akhlak baik, hormat semua makhluk taat perintah Allah SWT.

Kanak-kanak itu turut menulis, 'Mohon doakan saya Wan Azmeen Aiman tahun ini akan menduduki UPKK (Ujian Penilaian Kelas KAFA). Saya ingin menjadi seorang yang hafaz al-Quran (al-hafiz). Saya redha sebagai seorang anak autisme dan boleh berjaya seperti insan lain'.

Zulkifli dalam statusnya memaklumkan bahawa beliau terharu dan meminta orang ramai sama-sama berdoa untuk kanak-kanak itu. ‘Semoga dia menjadi anak yang soleh dan menjadi generasi al-Quran’.

Beliau juga sudah berjumpa dengan kanak-kanak itu.

Menurut Wan Dayang Zelanah, dia mula mengesan Aiman menghidap austisme ketika anaknya itu berusia lima tahun.

“Dia tidak boleh bercakap dan ketika itu sejujurnya kami sekeluarga tidak ada ilmu pengetahuan mengenai autisme sehingga kami terdengar forum di radio yang membincangkan simptom pesakit autisme.

“Ketika itu baru saya sedar Aiman mungkin salah seorang daripadanya. Luluh hati seorang ibu apabila mengetahui anak saya autisme,” kata ibu kepada empat anak itu.

Menurutnya, penyakit yang dialami anaknya itu tidak mematahkan semangat mereka sekeluarga.

“Kami ikthiar dengan berjumpa ustaz di Darul Syifa’ dan ketika itu Aiman tidak boleh bercakap.

“Saya terkejut selepas ustaz itu berdoa dan memohon kepada Allah sebelum mengajarnya bercakap dan perkataan pertama disebut adalah Allah,” katanya.

Wan Dayang Zelanah berkata, dia tidak menganggap perkara yang terjadi kepada keluarganya itu sebagai musibah malah ia adalah petunjuk dan hidayah yang diterima dari Allah SWT.

“Alhamdulillah Aiman rajin solat dan berzikir. Kadangkala dia lah orangnya yang mengingatkan kami dan membuatkan kami lebih dekat dengan Allah.

“Tambahan pula, dia suka membaca buku agama seperti peperangan zaman nabi dan khulafah. Dia sangat istimewa,” katanya.

Menurut Wan Dayang Zelanah, dia memberi penekanan terhadap akhlak anaknya itu.

“Tiada niat untuk menunjuk malah saya bukan contoh terbaik, namun cara didikan anak austime bermula daripada perbuatan dan percakapan kita sendiri.

“Aiman tidak suka suasana yang bising. Justeru, adab percakapan dengan lemah lembut dan tidak menengking adalah salah satu cara yang saya terapkan bagi mengelakkan dia ‘buat perangai’,” katanya.

Wan Dayang Zelanah berkata, anak bongsu dari empat beradik itu umpama pendamai dalam keluarganya.

“Saya pernah berpura-pura bertengkar untuk melihat reaksinya dan apabila dia lihat situasi itu dia akan beristighfar panjang. Jika dia marah, dia akan ambil tasbih dan berzikir sambil menangis untuk tenangkan hatinya. 

“Saya banyak belajar daripada perbuatannya itu. Alhamdulillah atas pemberian istimewa yang Allah beri,” katanya.

Menurutnya, dia sentiasa berdoa supaya Allah memanjangkan usianya supaya dapat menjaga Aiman.

“Saya hantarnya ke sekolah setiap hari dan membawa begnya. Bukan manjakan anak tetapi itu cara memujuknya.

“Ketika dalam perjalanan ke sekolah dia akan berzikir dan mendoakan kesejahteraan orang yang memberikan kami laluan,” katanya.

Katanya, bukan mudah untuk menjaga anak autisme, namun tidak susah untuk mendidik mereka. 

“Bukan saja sokongan daripada saya dan suami malah adik-beradik yang lain juga perlu main peranan untuk jadikan contoh.

“Kami ada perancangan untuk masa depannya dan Aiman juga selalu yakin Allah sentiasa disisinya.

“Dia ingat kata-kata seorang pendakwah bebas dan sering ulangi ungkapan ‘Aiman jaga hubungan dengan Allah dan Allah jaga Aiman’,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 11:00 PM