GANJA yang dirampas. Gambar kecil, Patrick Jiron. FOTO York County Sheriff's Department & Reuters
GANJA yang dirampas. Gambar kecil, Patrick Jiron. FOTO York County Sheriff's Department & Reuters
AFP

Chicago (Amerika Syarikat): Sepasang suami isteri warga emas terpaksa melupakan perancangan untuk sambutan Krismas apabila ditangkap dengan 27 kilogram (kg) ganja bernilai AS$336,000 (RM1.4 juta) yang mahu diberikan sebagai hadiah sempena perayaan itu.

Patrick Jiron, 80, dan isterinya Barbara, 70, memandu dari California ke Vermont untuk melawat keluarga serta sahabat mereka dengan membawa ganja berkenaan untuk diberikan sebagai hadiah, lapor York News-Times.

Pasangan itu ditahan separuh jalan di Nebraska selepas ditahan atas kesalahan lalu lintas, namun polis kemudian menghidu bau dadah berkenaan dari trak pikap mereka.

Jiron ditahan dan didakwa atas tuduhan memiliki ganja dengan tujuan membuat penghantaran, tetapi dibebaskan selepas membayar 10 peratus daripada wang jaminan AS$100,000 (RM408,000) ditetapkan untuknya.

Barbara didakwa tetapi tidak dipenjara kerana masalah kesihatan yang tidak didedahkan, lapor akhbar berkenaan.

Ganja diklasifikasikan bahan terlarang di Nebraska walaupun beberapa negeri lain termasuk jirannya Colorado serta California membenarkannya untuk tujuan rekreasi.

Vermont antara 29 negeri di Amerika Syarikat yang membolehkan ganja digunakan untuk tujuan perubatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 6:12 AM